AKSI  Gnabry (tengah)  menjaringkan gol kedua Jerman di Belfast. - FOTO AFP
AKSI Gnabry (tengah) menjaringkan gol kedua Jerman di Belfast. - FOTO AFP
Reuters

JERMAN menewaskan Ireland Utara 2-0 di Windsor Park menerusi dua jaringan pada babak kedua dalam aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.

Pertahanan, Marcel Halstenberg meletakkan pelawat di depan tiga minit selepas rehat menerusi rembatan menarik di penjuru kiri kotak penalti.

Serge Gnabry meneruskan momentum jaringannya bersama Jerman menerusi gol kedua pada masa kecederaan untuk jaringan kesembilan daripada 10 perlawanan antarabangsa. Kemenangan itu yang kelapan berturut-turut Jerman ke atas Ireland Utara sekali gus melegakan penyokong mereka susulan kekalahan kepada Belanda 2-4 di tempat sendiri minggu lalu.

Jerman kini menduduki tangga teratas Kumpulan C dengan 12 mata daripada lima perlawanan, mengatasi Ireland Utara di tangga kedua yang tewas kali pertama dalam kempen kali ini. Belanda yang menewaskan Estonia 4-0 di tempat lawan di tangga ketiga dengan sembilan mata daripada empat perlawanan.

"Kami tertekan untuk meraih kemenangan selepas tewas Jumaat lalu dan kami tampak berkarat pada babak pertama,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew. “Ireland Utara menyerang dengan agresif dan rentak permainan kami terjejas. Selepas rehat baharulah permainan kami lebih baik.”

Skuad muda Jerman yang kehilangan beberapa tonggak akibat kecederaan tampak tumpul pada babak pertama dan kekeringan idea untuk merobek pertahanan Ireland.

Mereka yang tekad bangkit daripada kekecewaan selepas tersingkir pusingan pertama Piala Dunia dan Liga Negara-Negara kekurangan sesi latihan dan ia memberi kesan kepada persembahan pasukan.

"Kami tidak pernah beraksi dengan barisan seperti ini,” kata Loew. "Jadi kami perlu bersabar kerana masih dalam proses pembelajaran.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 7:07 AM