PAN Gon sudah mengenali pemain-pemain muda negara. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
PAN Gon sudah mengenali pemain-pemain muda negara. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Jika Kim Pan-gon tidak keberatan, saya fikir beliau calon paling sesuai membimbing pasukan ke Piala Asia B-23."

Itu pandangan penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli apabila menganggap Pan-gon yang juga pengendali skuad senior Harimau Malaya adalah calon layak menggantikan E Elavarasan yang melepaskan jawatannya selaku jurulatih B-23 semalam.

Menurut Pekan, terdapat empat sebab mengapa beliau merasakan Pan-gon adalah calon sesuai antaranya impak segera yang mampu di bawa oleh jurulatih dari Korea Selatan itu, latar belakang rekod yang cemerlang dan memiliki aura tersendiri dalam memuncakkan kembali motivasi pemain.

Ujarnya lagi, konsep dan sistem permainan yang sama dengan skuad senior juga perlu dipertimbangkan di mana falsafah permainan di bawa Pan-gon dilihat berjaya hingga membawa pasukan layak ke pusingan akhir Piala Asia di Qatar Januari depan.

Malah tempoh dua bulan selepas berakhirnya kempen Piala Asia pada Januari itu, boleh diteruskan Pon-gon dengan pasukan B-23 yang akan membuka saingan pertengahan April tahun depan di venue yang sama.

"Saya rasa itu yang terbaik (Pan-gon melatih skuad B-23) dan rasanya tempoh dua bulan lebih selepas berakhirnya Piala Asia dengan pasukan senior mencukupi untuk beliau mempersiapkan pasukan.

"Pan-gon sudah mengenali pemain-pemain muda negara kita, jadi saya fikir beliau tidak memerlukan masa yang panjang untuk bawa impak seperti mana yang beliau beri ketika mula-mula melatih skuad senior pada Mac, dan hanya memerlukan tiga bulan (pada Jun tahun lalu) untuk bawa Malaysia layak ke Piala Asia," katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, Elavarasan memutuskan meletakkan jawatan selepas melakukan perbincangan dari hati ke hati bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan beberapa keputusan tidak memberangsangkan sepanjang tahun ini, meskipun layak ke Piala Asia B-23 di Qatar tahun depan.

"Bagi saya Pan-gon selaku ketua jurulatih skuad senior juga perlu mengambil tanggungjawab kerana pemain-pemain muda ini akhirnya akan memperkuatkan pasukan senior selepas ini.

"Kita dah lihat beberapa contoh jurulatih senior juga membimbing pasukan B-23 seperti Park Hang-seo sebelum ini dengan Vietnam. Sekarang Indonesia buat perkara sama, jadi falsafah permainan sama dilihat tidak berubah apabila pemain B-23 dipanggil menyertai skuad senior.

"Kalau boleh kita bersaing di Piala Asia dengan memberi tentangan bermakna, bukan sekadar hanya melengkapkan jadual sahaja. Impak segera, track record, aura dan falsafah permainan moden, kesemuanya ada pada Pan-gon dan saya lihat beliau calon sesuai," katanya.

Di Piala Asia B-23 nanti, bukan saja ditawarkan trofi kejuaraan malah tiga pasukan terbaik bakal meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris sekali gus peluang buat Malaysia cuba mencipta sejarah layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Untuk rekod, pasukan bola sepak negara pernah mencipta sensasi di peringkat dunia apabila layak dua kali ke Sukan Olimpik iaitu pada 1972 di Jerman dan saingan 1980 di Moscow sebelum menarik diri ekoran pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 10:37 PM