Naples: Victor Osimhen berkata, Napoli mengimpikan kegemilangan Liga Juara-Juara selepas dua golnya berjaya membantu pendahulu Serie A itu menang 3-0 ke atas Eintracht Frankfurt dan mara ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah mereka.
Osimhen meledak gol di kedua-dua separuh masa bagi memastikan tiada sebarang kesilapan di Naples dan membantu pasukannya mara melalui agregat 5-0.
Piotr Zielinski menambah gol ketiga Napoli menerusi penalti untuk kelab terbesar di selatan Itali itu, yang Osimhen percaya boleh pergi jauh.
"Ia sangat luar biasa dapat mencipta sejarah. Kami akan terus mengimpikan perkara ini, kerana kami mempunyai skuad yang mampu melaksanakannya (muncul juara Liga Juara-Juara)
"Saya rasa kami di landasan betul. Kami mempunyai jurulatih yang hebat. Kami akan melihat masa depan kami, saya fikir kami mempunyai peluang yang baik."
Skuad kendalian Luciano Spalletti hampir merangkul kejuaraan Serie A pertama mereka dalam tempoh lebih tiga dekad dan musim yang luar biasa menjadi lebih baik dengan layak ke lapan terakhir saingan kelab terbaik Eropah.
Mereka mendapat semangat daripada pencapaian domestik dan prestasi Osimhen yang kini menjaringkan 23 gol dalam semua pertandingan.
Bagaimanapun Spalletti kurang yakin mengenai peluang Napoli berbanding Osimhen, dengan menjawab ringkas 'tidak' apabila ditanya sama ada beliau dipuji oleh Pep Guardiola.