AKSI Henderson ketika bersama Forest musim lalu.
AKSI Henderson ketika bersama Forest musim lalu.
AFP

London: Crystal Palace menandatangani penjaga gol England Dean Henderson daripada pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United, menurut kelab London itu awal pagi tadi.

Pemain berusia 26 tahun itu mengikat kontrak lima tahun. Tidak didedahkan jumlah yuran perpindahannya ke Selhurst Park tetapi media British menganggarkan sekitar £15 juta (RM87.96 juta) dan £5 juta (RM29 juta) lagi menerusi tambahan lain.

Henderson tiba di Old Trafford ketika berusia 14 tahun dan kemudiannya tampil sebagai pemain pinjaman di Sheffield United dan membantu Blades naik ke EPL pada musim 2018/19. Dia menghabiskan musim lalu di Nottingham Forest juga sebagai pemain pinjaman.

Secara keseluruhannya Henderson tampil 29 aksi bersama Manchester United dalam semua kejohanan dan membantu England menjuarai Piala Dunia B-20 pada 2017.

Pemergiannya dari Old Trafford memberikan laluan kepada penjaga gol Fenerbahce Altay Bayindir untuk menyertai Manchester United selepas Andre Onana.

Henderson dalam laman sesawang Palace berkata: "Saya sangat gembira dan teruja dapat ke sini. Saya tak sabar beraksi.

"Kelab ini mempunyai penyokong sangat hebat dan memiliki pemain berkualiti yang laparkan kejayaan. Sesuatu sedang dibina di sini dan saya mahu menjadi sebahagian daripadanya."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 8:50 AM