HENDERSON perlu bersaing dengan De Gea untuk posisi penjaga gol utama United. FOTO AFP
HENDERSON perlu bersaing dengan De Gea untuk posisi penjaga gol utama United. FOTO AFP
AFP

PENJAGA gol, Dean Henderson menandatangani kontrak baharu jangka panjang bersama Manchester United, menurut pengumuman kelab Liga Perdana itu awal pagi tadi.

Henderson, 23, yang tersenarai dalam skuad England kendalian Gareth Southgate untuk aksi Liga Negara-Negara menentang Iceland dan Denmark bulan depan menghabiskan tempoh pinjaman selama dua musim di Sheffield United.

Kelab berkata: "Manchester United gembira mengumumkan Dean Henderson telah menandatangani kontrak baharu yang mengekalkannya bersama kelab sehingga Jun 2025 dengan pilihan lanjutan tahun selepasnya.

Henderson tampil 86 perlawanan bersama Blades selepas menyertainya pada 2018, membantu mereka layak ke Liga Perdana dan menduduki kelompok sembilan teratas musim lalu.

Henderson berkata: "Kepercayaan ditunjukkan pengurus (Ole Gunnar Solskjaer) dan kelab kepada saya menerusi kontrak ini amat bermakna kepada saya dan menyuntik semangat untuk terus melakukan yang terbaik sebagai penjaga gol.''

Henderson yang menyertai United pada usia 14 tahun mengesahkan pada awal bulan ini dia tidak mahu kekal semusim lagi bersama Blades yang telah mendapatkan penjaga gol, Aaron Ramsdale dari Bournemouth.

Henderson akan bersaing dengan penjaga gol Sepanyol, David de Gea untuk kesebelasan utama di Old Trafford selain pemain Argentina, Sergio Romero.

Solskjaer berkata: "Kami teruja Dean menandatangani kontrak baharu. Dia meraih satu lagi musim cemerlang di Sheffield United, mendapat banyak pengalaman dan berkembang sebagai pemain dan individu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 8:04 AM