JUAN Mata meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
JUAN Mata meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

London: Manchester United melangkah ke pusingan keempat Piala Liga selepas mencatat kemenangan 3-0 di Luton sekali gus bangkit daripada kekecewaan tewas 1-3 kepada Crystal Palace di saingan Liga Perdana, Sabtu lalu.

Kali pertama bertemu kelab Liga Kejuaraan, Luton sejak 1992, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer melakukan 10 pertukaran termasuk memberi peluang kepada penjaga gol, Dean Henderson dan Donny Van De Beek melakukan penampilan kali pertama.

United di depan minit ke-44 selepas dihadiahkan sepakan penalti dan ia disempurnakan oleh Juan Mata.

Marcus Rashford masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol minit ke-88 sebelum Mason Greenwood menyumbang gol ketiga pada masa kecederaan.

"Melangkah ke pusingan seterusnya adalah amat bagus. Banyak perkara positif dipamerkan oleh setiap pemain.

"Penjaga gol melakukan tugasnya dengan baik dan kami berjaya menjaringkan gol di hujung perlawanan," kata Solskjaer.

Henderson pula menerusi akaun Twitter miliknya menulis: "Saya menantikan saat ini sepanjang hidup saya.

"Sangat menakjubkan dapat melakukan penampilan pertama dengan kelab yang saya minati."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 7:03 AM