HENDERSON tiba di Carrington untuk menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO Agensi
HENDERSON tiba di Carrington untuk menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO Agensi
Agensi

DEAN Henderson kembali ke pangkalan latihan Carrington hari ini dengan misi merampas jersi nombor satu daripada David De Gea.

Penjaga gol Inggeris berusia 23 tahun itu pulang ke Old Trafford selepas tempoh pinjaman dua musim yang cemerlang di Sheffield United tamat pada musim panas ini.

Henderson mengesahkan dia tidak akan kembali ke Bramall Lane dengan bercita-cita menjadi pilihan utama Ole Gunnar Solskjaer di bahagian gawang.

United dijangka menawarkan gaji lumayan £100,000 (RM549,000) seminggu dengan kontrak mega empat tahun sekali gus menunjukkan kepentingan Henderson kepada pasukan.

Dia mengikat kontrak dengan gaji hanya £60,000 (RM329,000) seminggu tahun lalu tetapi prestasi cemerlangnya bersama Blades menarik perhatian pengurusan United untuk memastikan masa depannya bersama United.

Kontrak baharunya turut merangkumi pilihan lanjutan 12 bulan yang boleh diaktifkan pada bila-bila masa.

Kehadiran Henderson menimbulkan spekulasi masa depan De Gea di Old Trafford selepas dia berdepan kempen mengecewakan.

Penjaga gol Sepanyol itu melakukan beberapa kesilapan besar sehingga membuatkan Solskjaer hilang sabar.

Bagaimanapun, jika pengendali United itu mahu menjual De Gea, gaji lumayan £350,000 (RM1.92 juta) seminggu penjaga gol itu menjadi masalah utama dalam rundingan.

Henderson pula tidak berhasrat menjadi yang kedua di belakang De Gea. Semalam dia mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Sheffield United.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 11:46 PM