RONALDO (kiri) menanduk masuk gol penyamaan untuk Al-Nassr ketika aksi Piala Juara-Juara Kelab Arab menentang Zamalek di Stadium King Fahd, Ta’if. FOTO AL-NASSR FC
RONALDO (kiri) menanduk masuk gol penyamaan untuk Al-Nassr ketika aksi Piala Juara-Juara Kelab Arab menentang Zamalek di Stadium King Fahd, Ta’if. FOTO AL-NASSR FC
Agensi

Ta'if, Arab Saudi: Cristiano Ronaldo meledak gol ke-840 peribadi ketika membantu kelab Arab Saudi, Al-Nassr mara ke suku akhir Piala Juara-Juara Kelab Arab, semalam.

Bintang Portugal itu menjaringkan gol keduanya dalam kejohanan itu ketika seri 1-1 menentang kelab Mesir, Zamalek, selepas menamatkan kemarau jaringan pramusim dalam kemenangan 4-1 ke atas Al-Monastir, Isnin lalu.

Al-Nassr ketinggalan dalam aksi di Stadium King Fahd, Ta'if, selepas penyerang Zamalek, Zizo menyempurnakan sepakan penalti untuk melonjak pasukannya ke tangga kedua kumpulan.

Bagaimanapun, empat minit sebelum perlawanan tamat, Ronaldo, 38, melompat tinggi untuk menanduk bola menewaskan penjaga gol Zamalek, Mohamed Sobhi.

Ia adalah jaringan ke-300 Ronaldo menggunakan sama ada kaki kiri atau kepalanya, berbanding kaki kanannya yang lebih dominan.

Keputusan seri 1-1 itu meletakkan Al-Nassr di tangga kedua Kumpulan C, sekali gus layak ke pusingan suku akhir kejohanan.

Perlawanan semalam turut menyaksikan penampilan sulung rakan sepasukan baharu Ronaldo, Sadio Mane yang menyertai kelab Arab Saudi itu dari Bayern Munich.

Al-Nassr akan memulakan kempen liga pada 14 Ogos berdepan Al-Ettifaq - kelab yang diterajui Steven Gerrard dan disertai bekas rakan sepasukan Mane di Liverpool, Jordan Henderson.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 12:16 PM