RONALDO akan kekal di Arab Saudi. -FOTO AFP
RONALDO akan kekal di Arab Saudi. -FOTO AFP
AFP

Riyadh: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo berjanji akan kekal di Arab Saudi musim depan biarpun gagal meraih sebarang trofi sejak berpindah ke negara yang kaya dengan minyak itu.

Ronaldo yang mengikat perjanjian dengan Al-Nassr Januari lalu menimbulkan spekulasi mengenai berapa lama dia akan kekal di sana termasuk laporan mengenai perjanjian pertukaran dengan Newcastle United milik Saudi yang kini layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Tetapi pemain berusia 38 tahun itu berkata dalam wawancara rasmi Liga Pro Saudi: "Saya gembira di sini, saya mahu teruskan di sini, saya akan teruskan di sini.

"Dan pada pendapat saya jika mereka terus melakukan kerja yang mereka mahu lakukan di sini, untuk lima tahun akan datang, saya fikir liga Saudi boleh menjadi liga lima terbaik di dunia."

Ronaldo meledak 14 gol dalam 16 penampilan liga dan itu hanya cukup membantu Al-Nassr, kelab Riyard yang menjadi kegemaran beberapa kerabat diraja Saudi menamatkan saingan di tempat kedua.

Pada Januari, bekas pemain Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu menandatangani perjanjian selama dua setengah tahun yang dikatakan bernilai lebih €400 juta (RM1.97 bilion)

Dia turut mengakui terkejut dengan beberapa keadaan di Saudi termasuk latihan lewat malam ketika di bulan Ramadan.

"Di Eropah kami berlatih lebih banyak pada waktu pagi, tetapi di sini kami berlatih pada sebelah petang, atau malam dan pada Ramadan kami berlatih pada pukul 10 malam," katanya.

"Jadi ini sangat pelik, tetapi seperti yang saya beritahu anda situasi ini adalah sebahagian daripada pengalaman, kenangan. Saya suka mengharungi detik-detik ini kerana anda belajar dengan perkara-perkara ini."

Dia menambah: "Saya menjangkakan untuk memenangi sesuatu tahun ini, tetapi kami tidak berjaya, tetapi tahun depan saya benar-benar positif dan yakin bahawa keadaan akan berubah, dan kami pergi dengan cara yang lebih baik."

Terdahulu Ronaldo terlepas perlawanan terakhir Liga Pro Saudi kerana kecederaan ketika pasukannya Al-Nassr menamatkan musim mereka dengan kemenangan 3-0 ke atas Al-Fateh.

Al-Nassr gagal memenangi sebarang kejuaraan musim ini dan menamatkan liga di tempat kedua, lima mata di belakang juara Al-Ittihad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 8:38 AM