PEMAIN Arsenal  Martin Odegaard menjulang trofi Perisai Komuniti bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
PEMAIN Arsenal Martin Odegaard menjulang trofi Perisai Komuniti bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
AFP

London: Mikel Arteta percaya kemenangan ke atas Manchester City dalam saingan Perisai Komuniti membuktikan mereka mampu memberi saingan sengit kepada juara 'treble' itu dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad Arteta memberi amaran menjelang permulaan musim baharu apabila bangkit menewaskan City 4-1 menerusi penentuan penalti selepas seri 1-1 di Wembley semalam.

Rembatan menarik Cole Palmer meletakkan City di depan minit ke-77 tetapi Arsenal enggan mengalah dan Leandro Trossard menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Gunners memanfaatkan kesemua empat penalti manakala sepakan Kevin De Bruyne terkena palang dan percubaan Rodri diselamatkan Aaron Ramsdale.

Penalti kemenangan Fabio Vieira diraikan penuh kegembiraan Arteta dan pemainnya seperti melepaskan geram susulan dihampakan City musim lalu.

Dengan musim baharu EPL bermula Jumaat ini, Arteta yakin kemenangan di Wembley memberikan petanda positif kepada skuadnya dalam memberikan cabaran kepada City.

"Sangat bagus jika pemain yakin mereka mampu menewaskan mana-mana pasukan. Saya fikir kami menunjukkan kesungguhan sebenar dan berjuang untuk kemenangan," kata Arteta.

"Kami berhak menang ke atas pasukan yang sudah beraksi dalam banyak final. Tiada yang lebih baik daripada memenangi trofi di Wembley ke atas pasukan terbaik dunia."

Menambahkan lagi keyakinan Arteta ialah aksi mantap pemain baharu mereka Declan Rice dan Jurrien Timber di bahagian tengah dan pertahanan kiri.

Manakala seorang lagi pembelian utama Kai Havertz kurang menyerlah apabila melepaskan dua peluang terbaik sekali gus menunjukkan mengapa Chelsea menjualnya kepada Arsenal.

Namun Arteta mempertahankan Havertz: "Havertz bagus, cara dia mengasak, dia berada dalam posisi terbaik menjaringkan gol. Saya puas hati dengan dia."

Ketika Arsenal tampak lebih garang dengan mendominasi perlawanan di Wembley, Guardiola enggan mempersalahkan pemainnya.

"Saya terkejut betapa bagusnya cara kami beraksi. Kami berdepan pasukan luar biasa. Selepas ini kami perlu persiapkan pasukan hadapi Burnley Jumaat ini," katanya.

"Kami menamatkan musim lalu yang gemilang tapi sukar. Saya tahu ia boleh berulang tapi kami boleh mengharunginya dengan lebih baik dan itu sasarannya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 7:46 AM