HABIB (kiri) bakal diumum secara rasmi pemain TFC tidak lama lagi. FOTO Ihsan Instagram Habib Haroun
HABIB (kiri) bakal diumum secara rasmi pemain TFC tidak lama lagi. FOTO Ihsan Instagram Habib Haroun
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) yang bakal beraksi dalam saingan Piala AFC hujung bulan ini akan memperkenalkan pemain baharunya, Habib Haroun dalam masa terdekat sebaik tempoh kuarantin pemain itu berakhir.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, pemain dari Bahrain itu sudah tiba di Kuala Lumpur pada akhir bulan lalu sebelum dikuarantin selama 14 hari mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Pemain itu akan tamat menjalani tempoh kuarantin pada 14 Jun ini dan dijangka tiba di Kuala Terengganu pada pertengahan bulan ini, sekarang kita sedang mengatur untuk membuat pengumuman secara rasmi pemain itu menyarung jersi TFC.

"Kita harap peminat setia skuad TFC bersabar lebih-lebih lagi kini dalam tempoh sekatan pergerakan penuh (SPP) seluruh negara sehingga 14 Jun ini, jadi kita perlu akur dengan peraturan terbabit bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19," katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Bekas pemain kelab Al Khalidiya SC dalam Liga Bahrain itu dijangka bakal bergandingan dengan pemain kebangsaan Mali, Makan Konate di jentera tengah bagi menggantikan Dechi Marcel yang dijangka kembali beraksi bersama pasukannya, Terengganu FC II (TFC).

Kelibat pemain berusia 21 tahun itu yang pernah beraksi bersama dengan penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun dan penyerang Sarawak United, Uche Agba ketika menyarung jersi kelab Al Riffa SC dalam Liga Bahrain pada 2019 hadir sebagai pemain import terakhir skuad Penyu selepas pemain kelahiran Australia, Christopher Herd diketepikan berikutan kecederaan serius bersama seorang lagi pemain tengah dari Namibia, Petrus Shitembi.

Kelibat pemain berketinggian 1.70 meter yang berpengalaman beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia dan Piala AFC musim lalu itu ditagih bagi memperkuatkan lagi pasukan menjelang saingan di peringkat Asia itu.

Selain Habib, TFC sebelum ini sudah mengumumkan bekas kaptennya, Lee Tuck kembali menyarung jersi skuad Penyu secara pinjaman daripada pasukan Sri Pahang FC hingga akhir musim ini.

Ia sekali gus menjadikan kuota lima pemain import skuad itu lengkap termasuk penyerang kelahiran Brazil, David Da Silva dan pemain kebangsaan Filipina, Carli De Murga serta Konate yang kini bersama pasukan negaranya bagi menghadapi aksi persahabatan sebagai persediaan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia di Qatar 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 9:13 PM