PEMAIN TFC waspada jerat KL Rovers. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN TFC waspada jerat KL Rovers. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun bakal berdepan dengan pasukan Liga M3, Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers) pada aksi pusingan 16 saingan Piala Malaysia, nada kebimbangan tetap bermain dalam pemikiran pihak pengurusan Terengganu FC (TFC).

Reaksi itu dilontarkan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football (Club) TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh yang melihat skuad kendalian Wan Mustafa Wan Ismail itu mempunyai kekuatannya yang tersendiri lebih-lebih selepas muncul juara liga berkenaan.

Jelas Ab Rasid, tambah menggusarkannya apabila skuad yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu bakal menggunakan khidmat empat pemain import kelahiran Korea Selatan.

Bagaimanapun beliau percaya, strategi yang bakal direncanakan jurulatih, Tomislav Steinbruckner mampu melepasi halangan dalam pusingan berkenaan bagi mengintai slot ke suku akhir.

TFC yang terkandas di peringkat separuh akhir bagi merebut trofi itu musim lalu bakal membuat perhitungan dengan skuad itu pada aksi pertama Jumaat ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 18 Ogos depan.

"Atas kertas sudah pasti ramai pemerhati sukan bola sepak bakal memilih TFC untuk melangkah ke suku akhir, namun kita tidak akan sesekali memandang rendah pasukan lawan walau daripada divisyen mana sekalipun.

"Ia bukan perlawanan yang mudah, sebaliknya kita perlu memperbaiki setiap kelemahan dan menggunakan kekuatan yang ada untuk mengatasi pihak lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 7:16 PM