JDT harungi aksi pramusim di Dubai, UAE dengan menyertai empat aksi persahabatan. FOTO JDT
JDT harungi aksi pramusim di Dubai, UAE dengan menyertai empat aksi persahabatan. FOTO JDT
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal mengubah haluan apabila merancang untuk mengadakan aksi pramusim di Eropah pada tahun depan.

Walaupun tewas 0-3 di tangan kelab gergasi Rusia, Zenit St Petersburg pada aksi terakhir siri Jelajah Pramusim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam, JDT dilihat memang berada pada standard lain.

Pada aksi terakhir menentang juara Liga Rusia itu, skuad Harimau Selatan tewas hasil jaringan Rodrigo, Malcom dan Danila Kozlov dengan semua gol dijaringkan pada babak pertama.

Ketua jurulatih JDT, Esteban Solari berkata, empat aksi persahabatan kompetitif diharungi di UAE memastikan pasukannya bersedia sepenuhnya menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M) yang akan membuka tirai pada 24 Februari depan.

Katanya, kekalahan kedua yang direkodkan anak buahnya kepada Zenit sudah dijangka kerana standard skuad lawan itu sememangnya berbeza.

"Ini perlawanan yang kami memang perlukan untuk memastikan kami 'humble' dan tidak mengambil apa-apa dengan mudah sebelum bermulanya musim 2023.

"Apabila menentang lawan yang mempunyai standard lebih tinggi, dalam situasi ini berdepan juara Liga Rusia yang bermain di Liga Juara-Juara Eropah (UCL), ia akan membantu kami untuk belajar dan bertambah baik.

"Ini satu-satunya cara untuk kami menjadi lebih mantap dan lebih kuat.

"Malah, saya sudah berbincang dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (pemilik JDT) dan berkemungkinan kami akan mengadakan kempen pramusim di Eropah pula pada tahun depan," kata pengendali import dari Argentina itu.

Sebelum ini, JDT merekodkan kemenangan ke atas kelab UAE, Fursan Hispania 3-0 dan menang 1-0 ke atas kelab Bulgaria, Levski Sofia sebelum aksi itu ditamatkan lebih awal susulan pergaduhan antara kedua-dua pasukan.

Minggu lalu, JDT mencipta kejutan dengan membenam satu lagi kelab gergasi Rusia, Locomotiv Moscow, 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 8:14 PM