SALAH meraikan jaringan ketika Mesir menentang Djibouti minggu lalu.
SALAH meraikan jaringan ketika Mesir menentang Djibouti minggu lalu.
Agensi

London: Spekulasi perpindahan penyerang Liverpool, Mohamed Salah dianggap paling sensasi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tarikh akhir bidaan £150 juta (RM878 juta) daripada kelab Liga Pro Saudi, Al-Ittihad mencetuskan kegusaran di media sosial manakala penyokong dan media menunggu-nunggu reaksi Liverpool.

Namun Reds tidak menunggu masa lama untuk menolak tawaran itu. Bagaimanapun, kebimbangan berterusan selepas kelab Arab Saudi itu sedia meningkatkan tawaran sehingga mencecah £200 juta (RM1.17 bilion).

Ketika Salah berbaki 18 bulan kontrak sekarang di Anfield, semua mata tertumpu kepadanya dan Liverpool terutama mengenai reaksi mereka menjelang jendela perpindahan Januari.

Menurut wartawan Fabrizio Romano, keazaman Liverpool untuk mengekalkan Salah adalah keutamaan nombor satu dan kelab enggan menjualnya walau apa keadaan sekali pun.

"Pada Januari saya lihat dia akan kekal, sudah pasti. Saya lihat Salah sebahagian daripada projek Liverpool. Saya tidak fikir apa-apa boleh berlaku pada jendela perpindahan Januari. Salah pemain penting bagi mereka.

"Mereka masih berjuang untuk gelaran Liga Perdana Inggeris, beraksi baik di Liga Europa, jadi ia musim positif bagi Liverpool. Tak mungkin Salah dilepaskan pada Januari tapi pada musim panas, kita tunggu sahaja."

Namun penyokong Liverpool tetap bimbang susulan kuasa wang dimiliki kelab Liga Pro Saudi yang lebih daripada mampu memiliki pemain kelas dunia seperti Salah dengan laporan menyebut Salah bakal menerima antara £400 juta (RM2.34 bilion) dan £480 juta (RM2.81 bilion) untuk tempoh tiga tahun, sesuatu yang terlalu bagus untuk Reds.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 3:17 PM