GREENWOOD terpaksa berpisah dengan Man United. FOTO FAIL REUTERS
GREENWOOD terpaksa berpisah dengan Man United. FOTO FAIL REUTERS
Agensi

Manchester: Pemain Manchester United, Mason Greenwood berpeluang menyertai kelab Arab Saudi bimbingan Steven Gerrard atau bergabung semula dengan Jose Mourinho di AS Roma.

Bekas penyerang England itu mendapat tawaran £10 juta (RM58.57 juta) untuk menyertai Al-Ettifaq.

Dia turut berada dalam radar bekas pengendali United, Mourinho yang kini membimbing kelab Seria A, Roma.

Beberapa kelab Arab Saudi lain turut memburu pemain 21 tahun itu, selain kelab terkemuka Turki, Galatasaray.

Al-Ettifaq sudah menandatangani bekas kapten Liverpool, Jordan Henderson, manakala Galatasaray diperkuat Wilfried Zaha dari Crystal Palace dan Hakim Ziyech secara pinjaman dari Chelsea.

Semalam, United mengumumkan Greenwood mungkin akan meninggalkan Old Trafford, tetapi tidak dinyatakan sama ada kontraknya akan dibatalkan atau dia akan dijual atau dipinjamkan ke kelab lain.

United kini perlu memutuskan hala tuju Greenwood bagi memastikan mereka tidak rugi besar menjelang 1 September ini, apabila jendela perpindahan ditutup.

Kontrak Greenwood hanya akan berakhir pada 2025 dan ia akan menelan belanja besar buat United untuk menamatkan kontraknya.

Selain kelab Arab Saudi, Roma antara destinasi terbaik buat Greenwood dengan bekas pengendalinya, Mourinho berminat mendapatkan khidmat penyerang itu.

Bekas pertahanan United, Chris Smalling - yang pernah bergandingan dengan Greenwood - meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Roma secara pinjaman pada 2019.

United dilaporkan berhubung dengan kelab Itali lain termasuk Juventus, AC Milan dan Inter Milan berkenaan perpindahan Greenwood.

Greenwood tidak beraksi untuk pasukan sejak ditangkap pada Januari tahun lalu atas dakwaan cubaan merogol dan serangan seksual.

Semua pertuduhan ke atasnya digugurkan pada Februari lalu, tetapi pemain itu kekal digantung oleh United.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 11:09 AM