REAKSI Solskjaer pada perlawanan separuh akhir kedua hari ini. FOTO AFP
REAKSI Solskjaer pada perlawanan separuh akhir kedua hari ini. FOTO AFP
AFP

Rome: Ole Gunnar Solskjaer mengkritik pihak yang bertanggungjawab kerana menyebabkan Manchester United perlu melalui jadual padat selepas skuad bimbingannya mara ke pentas final Liga Europa hari ini.

United menempah tiket final pada 26 Mei ini bertemu Villarreal di Gdansk selepas meraih kemenangan menerusi agregat 8-5 di sebalik tewas 2-3 kepada Roma pada aksi separuh akhir kedua Liga Europa di Stadio Olimpico.

Kini barisan pemainnya perlu melalui empat aksi Liga Perdana Inggeris dalam tempoh 10 hari selepas dua gol Edinson Cavani memastikan United dapat menyekat kemaraan Roma.

United akan berkunjung ke Aston Villa, Ahad ini dan kemudian akan menanti kunjungan Liverpool pada Khamis sebelum bertemu Leicester serta Fulham selepas itu.

"Ia dilakukan oleh mereka yang tidak pernah beraksi bola sepak pada tahap ini," kata Solskjaer to BT Sport.

"Secara fizikal sangat mustahil untuk pemain. Kami tidak diatur dengan baik. Kami memerlukan pembabitan semua pihak untuk keempat-empat perlawanan ini. Apapun kami perlu bersedia."

Pengendali dari Norway itu turut berang dengan aksi hambar barisan pemainnya hari ini sambil mengakui jika tidak kerana aksi cemerlang pada separuh akhir pertama yang menyaksikan United menang 6-2, mereka mungkin akan dikecewakan oleh Roma.

"Perlawanan hari ini sangat mengecewakan tetapi kami tetap ke final. Kami beraksi dengan baik pada separuh akhir pertama di Old Trafford yang sangat membantu untuk melangkah ke final.

"Saya kecewa kami tewas, terutamanya selepas melihat cara kami beraksi pada separuh masa kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 7:07 AM