ODEGAARD (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
ODEGAARD (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Burnley: Sepakan percuma Martin Odegaard memberikan Arsenal kemenangan 1-0 ke atas Burnley di Turf Moor sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Mikel Arteta meraih kemenangan kedua berturut-turut pada saingan Liga Perdana buat kali pertama musim ini.

Pemain tengah Norway itu melakukan rembatan dari jarak 23 meter menerjah gawang Burnley pada minit ke-30 sekali gus gol pertamanya sejak menyertai Arsenal secara kekal dari Real Madrid, Ogos lalu.

Gunners merekodkan permulaan terburuk kempen liga dalam tempoh 67 tahun apabila tewas ketiga-tiga perlawanan pertama tanpa mampu meledak gol.

Bagaimanapun kemenangan 1-0 ke atas Norwich minggu lalu berjaya menyerap semula tekanan yang membelenggu Arteta dan Arsenal meneruskan rentak kemenangan itu ketika bertemu Burnley.

Thomas Partey melakukan penampilan pertama musim ini dengan Arteta memberi peluang kepada pemain Ghana itu serta Emile Smith Rowe sebelum menggantikan kedua-duanya dengan Ainsley Maitland-Niles serta Albert Sambi Lokonga.

Penyerang Burnley, Ashley Barnes dan Chris Wood sering mengancam pertahanan Arsenal namun tidak dapat melakukan cubaan yang tepat.

Gabriel dan Takehiro Tomiyasu cemerlang menafikan beberapa cubaan jarak dekat Burnley ketika pelawat tampak bergelut meskipun mendominasi perlawanan sebelum gol Odegaard melegakan Arsenal.

Dengan masih kemarau kemenangan, Burnley kekal di zon penyingkiran apabila hanya mampu mengutip satu mata daripada lima perlawanan liga dan tidak pernah menang 13 perlawanan terakhir di halaman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 7:41 AM