KEADAAN bas yang terbabit dalam kemalangan dan membawa penyokong bola sepak di Brazil. FOTO AFP
KEADAAN bas yang terbabit dalam kemalangan dan membawa penyokong bola sepak di Brazil. FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan 27 lagi dimasukkan ke hospital pagi tadi di tenggara Brazil apabila pemandu bas yang membawa penyokong bola sepak hilang kawalan di jalan pergunungan, kata pegawai bomba.

Kemalangan itu berlaku di lebuh raya berhampiran Belo Horizonte di negeri Minas Gerais.

Penumpang yang ditemuramah oleh laman web berita G1 berkata pemandu itu menjerit bahawa brek mengalami kerosakan sebelum hilang kawalan.

Lebih 40 penyokong kelab bola sepak Corinthians di Sao Paulo berada di dalam bas, pulang dari perlawanan malam sebelumnya di Belo Horizonte.

Fernando Frois, seorang leftenan bomba Minas Gerais, melaporkan jumlah mangsa tetapi tidak menyatakan keadaan mereka yang dimasukkan ke hospital.

Agensi Pengangkutan Darat Kebangsaan (ANTT) negara itu dalam satu kenyataan berkata bas itu tidak berdaftar dan tiada kebenaran untuk mengangkut penumpang antara negeri.

Kelab dari seluruh Brazil, serta Konfederasi Bola Sepak Brazil, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 10:42 AM