BANJIR di Betim, Brazil, susulan hujan lebat di negara itu. FOTO EPA
BANJIR di Betim, Brazil, susulan hujan lebat di negara itu. FOTO EPA
BERNAMA

Rio De Janeiro: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh selepas hujan lebat melanda negeri Minas Gerais di tenggara Brazil, sejak 24 jam lepas, dan lebih 13,000 mangsa terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing, lapor Xinhua, memetik kenyataan pihak berkuasa pertahanan awam pada Selasa.

Antara mangsa terkorban membabitkan lima anggota keluarga yang menaiki sebuah kereta di wilayah metropolitan Belo Horizonte.

Kenderaan yang membawa suami isteri, dua anak berusia tiga dan enam tahun serta seorang lagi saudara dipercayai tertimbus, dalam kejadian tanah runtuh.

Hujan lebat pada hujung minggu menyebabkan kejadian banjir besar dan tanah runtuh.

Sebanyak 145 daripada 853 majlis perbandaran di negeri ini mengisytiharkan situasi kecemasan, manakala lebih 17,000 orang hilang tempat tinggal.

Beberapa sungai di negeri Minas Gerais turut melimpah akibat jumlah takungan hujan yang banyak, dan beberapa empangan mungkin melimpah.

Sekurang-kurangnya 19 orang terkorban di negeri ini sejak musim tengkujuh melanda awal Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 11:51 AM