ALVES (tengah) akui Brazil perlu lupakan kisah silam. -Foto AFP
ALVES (tengah) akui Brazil perlu lupakan kisah silam. -Foto AFP
AFP

BAGI pasukan yang pernah menjuarai lebih banyak gelaran teragung bola sepak, Piala Dunia berbanding negara lain, Brazil bagaimanapun sering dihantui kenangan pahit.

Skuad Selecao menjulang Piala Dunia lima kali dan muncul juara Amerika Selatan lapan kali.

Mereka juga pernah menjuarai Piala Konfederasi sebanyak empat kali.

Bagaimanapun sukar untuk menyingkirkan kegagalan mereka dalam bola sepak, namun satu daripadanya berjaya diselesaikan semalam ketika menewaskan Paraguay menerusi penalti dalam Copa America untuk mara ke separuh akhir di mana mereka akan berdepan musuh ketat, Argentina.

“Anda perlu lupakan trauma. Hari ini kami berjaya melepasi trauma daripada dua kekalahan di peringkat kalah mati di mana pasukan ini menyingkirkan kami,” kata pertahanan veteran Brazil Dani Alves selepas perlawanan di Gremio Arena, Porto Alegre.

Selepas buntu mencari jaringan sepanjang 90 minit, penjaga gol Brazil Alisson menyelamatkan penalti daripada Gustavo Gomez manakala sepakan Derlis Gonzalez pula tersasar, membolehkan Gabriel Jesus meledak penalti kemenangan dan membawa tuan rumah ke separuh akhir.

Namun idea untuk melanjutkan perlawanan ke peringkat penalti nyata membuat Brazil ‘kecut perut’ sebelum perlawanan memandangkan Paraguay dua kali menyingkirkan Selecao daripada Copa America iaitu pada 2011 dan 2015, kedua-duanya pada peringkat sama.

“Kami sedar hari ini bahawa kami perlu mempunyai mental yang amat kuat kerana kami berdepan satu daripada pasukan paling mencabar di Copa America,” kata kapten Brazil itu.

Sekiranya Brazil mahu menjulang gelaran Copa kesembilan, mereka perlu melepasi dua lagi ujian bermula aksi suku akhir awal pagi Rabu di Stadium Mineirao di Belo Horizonte.

Menanti Brazil di Mineirao adalah seteru utama mereka Argentina yang pernah mereka tewaskan 3-0 dalam kelayakan Piala Dunia pada November 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 11:50 AM