HOJLUND (kanan) meraikan gol sulung Manchester United bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
HOJLUND (kanan) meraikan gol sulung Manchester United bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Manchester: Manchester United gagal menyambut kehadiran pemilik bersama baharu kelab itu, Jim Ratcliffe ke Old Trafford dengan kemenangan apabila Tottenham bangkit dua kali daripada ketinggalan sebelum seri 2-2, awal pagi tadi.

Ratcliffe hadir buat kali pertama sejak bersetuju dengan perjanjian untuk memegang 25 peratus saham kelab gergasi Inggeris itu dengan nilai AS$1.3 bilion (RM6.04 bilion).

Penyerang United mengalami kemarau jaringan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, musim ini, namun Rasmus Hojlund dan Marcus Rashford menjaringkan gol pada babak pertama, sebelum Richarlison merapatkan jurang.

Jaringan Rodrigo Bentancur pada minit pertama babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terikat sehingga tamat perlawanan.

Satu mata itu menyaksikan Tottenham sama mata dengan seteru utara London, Arsenal, hanya berada di luar kelompok empat pasukan terbaik menerusi perbezaan jaringan.

Tetapi, mereka cukup gembira dengan keputusan seri itu apabila kekal lapan mata di depan United, yang meningkat ke tangga ketujuh.

"Satu persembahan cemerlang memandangkan cabaran perlu kami hadapi untuk menyediakan pasukan," kata bos Tottenham, Ange Postecoglou, yang kehilangan khidmat kapten, Son Heung Min kerana beraksi pada Piala Asia, selain empat pemain utama tidak boleh beraksi.

"Kami tidak berada di sini dalam keadaan semuanya berjalan mengikut kemahuan. Kami tidak mengharungi satu tahun mudah dan satu-satunya sebab kami berada di kedudukan ini kerana pemain sanggup mengetepikan kesukaran."

Sebelum sepak mula, Ratcliffe mengakui mengambil saham dalam kelab diminatinya sejak kecil itu adalah pelaburan paling menarik yang dia pernah terbabit.

Anak buah Erik ten Hag terdesak untuk meraih tiga mata bagi menyaingi Spurs dalam perebutan untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim depan.

Hojlund memerlukan 15 perlawanan untuk menyumbat gol sulungnya dalam EPL selepas perpindahan bernilai £72 juta (RM426 juta) dari Atalanta.

Namun, penyerang Denmark itu kini memiliki dua gol dalam dua aksi liga utama Inggeris apabila dia merembat kencang melepasi Guglielmo Vicario selepas hanya tiga minit perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 7:49 AM