KANE turut diburu beberapa kelab lain selain United. -FOTO AFP
KANE turut diburu beberapa kelab lain selain United. -FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United menamatkan pemburuan mereka untuk mendapatkan Harry Kane dari Tottenham musim panas ini.

Erik ten Hag sebelum ini meletakkan bintang England sebagai sasaran pertamanya dengan United melihat pembelian penyerang baharu sebagai keutamaan menjelang musim depan.

Pengendali kelahiran Belanda itu 'taksub' untuk membawa Kane ke Old Trafford bagi mengetuai jentera serangannya tetapi United kini terpaksa beralih kepada pemburuan baru selepas perkhabaran yang memaklumkan bahawa nilai kapten Spurs itu akan menjadi terlalu mahal dan berada di luar kemampuan mereka.

The Guardian melaporkan Ten Hag 'kecewa' atas ketidakmampuan kelab membawa masuk sasaran utamanya tetapi memahami kedudukan United kerana menyedari kelab itu tidak boleh membayar lebih untuk mendapatkan pemain berusia 29 tahun itu yang kini berada di tahun terakhir kontraknya di utara London.

Pengerusi Tottenham, Daniel Levy bertekad untuk mengekalkan Kane di kelab itu dengan harapan dia akan tetap menandatangani perjanjian baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang dan tidak akan melayan permintaan menjualnya kepada pesaing utama.

Spurs menilai Kane sekitar £100 juta (RM585.82 juta) walaupun kontraknya akan tamat.

Real Madrid juga antara kelab yang berminat untuk menandatangani penyerang itu yang mana mereka kini mencari pengganti Karim Benzema berikutan perpindahannya ke kelab Arab Saudi Al-Ittihad walaupun ketersediaan Kylian Mbappe boleh mengubah rancangan tersebut.

United pula kini akan mengalihkan fokus mereka kepada sasaran lain. Victor Osimhen, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan Napoli di Serie A musim lalu, juga antara yang tersenarai dalam senarai pendek seperti Kane namun pemain itu juga akan menuntut bayaran perpindahan yang besar.

Napoli meletakkan nilai pemain antarabangsa Nigeria itu sekitar £130 juta (RM761.76 juta)

United juga dikatakan turut berminat untuk mendapatkan pemain bintang muda Atalanta, Rasmus Hojlund. Pemain Denmark berusia 20 tahun itu menjaringkan sembilan gol dalam 32 perlawanan liga pada musim pertamanya dalam bola sepak Itali selepas perpindahan dari Sturm Graz musim panas lalu tetapi ia adalah pilihan yang tidak berpengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 12:30 PM