TUNKU Ismail dalam program Podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikan, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
TUNKU Ismail dalam program Podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikan, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) nampak hebat di Asia Tenggara namun hakikatnya pasukan terbabit masih lagi jauh ketinggalan berbanding kelab Jepun dan Korea Selatan.

Perkara itu diakui pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melihat pasukannya belum lagi mencapai tahap yang diinginkan sekali gus perlu melakukan beberapa penambah baikan dalam usaha mencabar kelab terbabit dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Tunku Ismail berkata, kelab Jepun dan Korea Selatan sudah ditubuhkan dan melaksanakan program pembangunan bola sepak sejak puluhan tahun dahulu sekali gus mempunyai pasukan mantap serta sistematik di peringkat antarabangsa.

Katanya, walaupun JDT memegang kejuaraan Liga Super 10 kali berturut-turut namun hakikatnya ia hanya bermula 2013 seterusnya menunjukkan terdapat jurang antara pasukan itu dan kelab Jepun serta Korea Selatan.

"Sudah pastinya mengambil masa kerana kita belum lagi berada di situ (setaraf kelab Jepun dan Korea Selatan). Mereka sudah bermula sejak berpuluh tahun lalu namun kita baru buat sejak 2013.

"Apa yang Urawa (Urawa Reds) buat adalah sejak 90an lain menyebabkan jauh daripada segi prestasi, profesionalisme dan diet pemakanan.

"Sebelum ini, kekalahan kita 3-1 kepada kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai semua kecewa namun saya pergi dengan hati terbuka dan percaya akan beri tentangan sengit namun tidak meletakkan harapan tinggi," katanya menerusi podcast 'Keluar Sekejap' yang dikendalikan, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Mengikut rekod, JDT sudah mencatat dua kekalahan dalam aksi Kumpulan I saingan ACL kepada kelab Jepun, Kawasaki Frontale sebelum turut mengalami nasib sama ketika menentang Ulsan Hyundai.

Selain itu, Tunku Ismail berkata, beliau bercita-cita besar apabila meletakkan sasaran untuk JDT dapat melangkah ke peringkat suku akhir saingan ACL.

"Kita bukan lagi pasukan belasahan dan saya fikir ketika ini pasukan JDT berada dalam landasan yang betul.

"Saya mahu melangkah ke pusingan suku akhir dan itu adalah sasaran dan berpuas hati jika dapat mencapainya.

"Kita perlu realistik dan tahu di mana kedudukan kami kerana kami tak tahu berangan kerana melihatnya berdasarkan fakta,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 2:19 PM