NORIZAM masih mengunci mulut mengenai spekulasi penjualan kelab.
NORIZAM masih mengunci mulut mengenai spekulasi penjualan kelab.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ekoran kemelut demi kemelut melanda Kelantan FC, difahamkan kelab terbabit kemungkinan bakal dijual kepada pembeli baharu.

Menurut sumber, satu pertemuan bersama pemilik baharu dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal diadakan esok atau Rabu ini bagi mendapatkan makluman terperinci mengenai status Kelantan FC terutamanya berkenaan nilai hutang pasukan itu.

Sumber memaklumkan, pemilik semasa Kelantan FC iaitu Norizam Tukiman terpaksa melepaskan kelab terbabit selepas gagal menguruskan pasukan dengan baik.

Masalah terbesar babitkan skuad The Red Warriors adalah berkaitan tunggakan gaji. Malah, ada beberapa kes yang sudah dibawa ke perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Fifa babitkan bekas pemain import dan jurulatih asing pasukan itu.

Begitupun, sehingga kini TRW atau Norizam masih mengunci mulut berkenaan penjualan kelab itu.

Untuk rekod, Kelantan FC sah dikenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua yang akan dibuka pada Rabu ini yang diputuskan oleh "First Instance Body" (FIB).

FIB memaklumkan, hukuman itu dijatuhkan susulan kegagalan Kelantan FC menghantar bukti bayaran caruman KWSP serta tunggakan gaji pemain dan pegawai (April dan Mei 2023) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan kepada The Red Warriors (TRW) pada 28 Jun dan 30 Jun lalu.

Selain itu tunggakan gaji, kelab terbabit juga dipalit kontroversi ekoran isu pemecatan bekas jurulatih Korea Selatan, Choi Moon-sik hingga kes berkenaan kini diheret ke Fifa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 6:35 PM