MORALES (kiri) dikatakan berstatus pemain naturalisasi terbaru negara selepas Josue (kanan). FOTO ARKIB NSTP
MORALES (kiri) dikatakan berstatus pemain naturalisasi terbaru negara selepas Josue (kanan). FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Adakah benar penyerang import Kuala Lumpur City (KL City) FC, Romel Morales kini pemain naturalisasi terbaharu negara?

Persoalan itu timbul selepas tular di laman sosial komen pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa Morales bakal diumumkan sebagai pemain skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Malah, difahamkan Morales bakal dibawa ke Piala Asia di Qatar, bulan depan bagi memperkukuhkan jentera hadapan skuad negara di pentas Asia itu.

Walaupun komen berkenaan difahamkan sudah dipadam, ia sempat ditularkan peminat bola sepak tempatan hingga kini menjadi perbualan hangat di laman sosial.

Arena Metro cuba mendapatkan komen lanjut daripada pengurusan KL City namun gagal dihubungi dengan setiap panggilan tidak berjawab.

Begitupun di ruangan sosial menyaksikan ramai menyambut baik kehadiran Morales yang dilihat mampu membantu pasukan negara di Piala Asia nanti.

Untuk rekod, Morales yang berasal dari Colombia sudah beraksi lebih daripada lima tahun di Liga Malaysia (Liga M) dan boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, sekali gus mengikut jejak Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero, Endrick dos Santo dan Paulo Josue.

Morales mula beraksi di Liga M pada musim 2018 bersama PKNS FC selama dua musim, sebelum berhijrah ke Melaka United pada 2020 dan kemudian menyertai skuad The City Boys pada 2021 sehingga kini.

Bersama KL City, dia memainkan peranan besar apabila membantu kelab itu muncul juara Piala Malaysia pada musim pertamanya dengan menundukkan JDT di final 2021, sebelum memacu pasukan ke final Piala AFC pada musim lalu, namun tunduk di tangan kelab Oman, Al Seeb.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 4:38 PM