PEMAIN TFC gigih jalani latihan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 menentang JDT. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN TFC gigih jalani latihan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 menentang JDT. FOTO Ghazali Kori
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jurulatih muda sedang meningkat naik, Sulaiman Hussin menganggap aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat ini adalah pentas berbeza di mana Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Terengganu FC berpeluang 'mencium' trofi keagungan itu.

Jelas Sulaiman, biarpun rata-rata pemerhati memilih JDT sebagai pilihan utama menjuarai piala itu, namun tidak boleh diketepikan kemampuan skuad Penyu yang mampu melakar kejutan nanti.

Katanya, sejarah final 2021 antara JDT dan Kuala Lumpur City FC (KL City) sudah membuktikan perkara itu di mana skuad Harimau Selatan terpaksa pulang hampa selepas anak buah Bojan Hodak menewaskan JDT dengan 2-0.

"Bila pentas final, kedua-dua pasukan ada kualiti tersendiri dan masing-masing berpeluang memenangi perlawanan. Saya sebenarnya memang nak lihat Terengganu FC yang rata-rata menggunakan pemain muda yang akan berdepan sebuah skuad berpengalaman seperti JDT di final nanti.

"Ketika saingan ACL (Liga Juara-Juara Asia) babitkan JDT dan Kawasaki Frontale, kita dapat lihat ramai pemain muda bermain untuk Kawasaki di mana JDT menurunkan pemain berpengalaman namun keputusan memihak kelab Jepun itu.

"Mungkin kualiti individu pemain Terengganu tidak sama dengan pemain muda Kawasaki, tapi kita boleh ambil kira kematangan pemain itu adalah persamaan yang mungkin boleh dilihat.

"Apapun, pemain Terengganu perlu rajin terutama di bahagian tengah dan perlu kekal berdisiplin sepanjang perlawanan. Manakala, pemain JDT pula tidak boleh menganggap aksi liga (Liga Super) sama seperti final nanti.

"Jika elemen itu ada tidak mustahil kejutan boleh berlaku seperti final Piala Malaysia 2021 lalu apabila KL City menewaskan JDT," katanya kepada Arena Metro.

JDT kini dalam laluan mempertahankan Piala Malaysia selepas menjuarainya pada musim lalu selepas menewaskan Selangor FC dengan 2-1. Manakala Terengganu FC pula kali terakhir memenanginya pada 2001 dengan menumbangkan Perak FC juga 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 4:10 PM