NEVES pemain terbaru berhijrah ke kelab Arab Saudi. FOTO AFP
NEVES pemain terbaru berhijrah ke kelab Arab Saudi. FOTO AFP
Agensi

London: Gary Neville meminta kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk berhenti membenarkan pemain mereka berhijrah ke Arab Saudi atas dasar 'integriti', namun setakat ini urusan perpindahan seakan tidak akan terhenti.

Terbaru, kapten Wolves berusia 26 tahun, Ruben Neves menyertai Al-Hilal dengan nilai perpindahan berjumlah £47 juta (RM279.5 juta), satu rekod perpindahan untuk kelab Molineux itu.

Penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy adalah antara nama besar Eropah yang turut dikaitkan dengan untuk menyertai kelab Liga Pro Saudi.

Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan N'Golo Kante sudah pun berhijrah ke Arab Saudi, malah terdapat juga spekulasi Lionel Messi akan turut serta namui akhirnya mengambil keputusan berhijrah ke kelab Amerika Syarikat (AS).

Semakin ramai juga pemain yang sedang berada di kemuncak prestasi turut berminat untuk berhijrah ke Arab Saudi termasuk dua pemain Chelsea, Kalidou Koulibaly dan Hakim Ziyech serta pemain Arsenal, Thomas Partey.

"Liga Perdana sepatutnya menghentikan segera perpindahan pemain ke Arab Saudi untuk memastikan integriti permainan tidak dirosakkan.

"Semakan perlu dibuat ke atas urusan perpindahan sama ada ia menepati prosedur atau sebaliknya.

"Apapun saya tetap dengan pendirian urusan perpindahan ini perlu dihentikan segera kerana kemungkinan terdapat urusan perpindahan yang menguntungkan dan tidak masuk akal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 5:58 PM