KALIDOU Koulibaly bergambar bersama jersi Al-Hilal. FOTO AFP
KALIDOU Koulibaly bergambar bersama jersi Al-Hilal. FOTO AFP
AFP

London: Kapten Senegal, Kalidou Koulibaly menjadi pemain berstatus bintang terbaharu yang berhijrah ke ke Arab Saudi selepas menyertai Al-Hilal dari Chelsea.

Koulibaly menyertai The Blues tahun lalu dari Napoli dengan nilai £33 juta (RM196.3 juta).

Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu bergelut di Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Chelsea menduduki tempat ke-12, penamat terendah sejak 1994.

"Kalidou Koulibaly meninggalkan Chelsea selepas melengkapkan perpindahan tetap ke kelab Liga Profesional Saudi Al-Hilal.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kalidou atas sumbangannya di dalam dan di luar padang sepanjang berada di Stamford Bridge dan mengucapkan selamat maju jaya untuk peringkat seterusnya dalam kariernya," kata Chelsea dalam satu kenyataan.

Disokong oleh dana kekayaan negara, Liga Pro Saudi berjaya memikat nama besar dari liga utama Eropah dengan menjanjikan gaji lumayan.

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Al Nassr pada Januari lalu, memulakan trend berkenaan.

Bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema dan pemenang Piala Dunia Perancis, N'Golo Kante dari Chelsea baru-baru ini menyertai Al-Ittihad.

Chelsea mungkin akan mendapat keuntungan seterusnya daripada pelaburan Saudi.

Penjaga gol, Edouard Mendy dilaporkan hampir menyertai Al Ahli, manakala pemain sayap Maghribi, Hakim Ziyech berada di ambang perpindahan ke Al Nassr.

Kelab Inggeris itu perlu menjual pemain sebelum akhir bulan ini untuk mencuba dan mematuhi peraturan 'fair play' kewangan selepas membelanjakan lebih £500 juta (RM2.97 bilion) untuk mendapatkan pemain baharu sejak 12 bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 7:26 AM