YASSIR (tengah) ketika menyaksikan perlawanan Newcastle. - FOTO EPA
YASSIR (tengah) ketika menyaksikan perlawanan Newcastle. - FOTO EPA
Agensi

London: Pengerusi Newcastle, Yasir Al-Rumayyan berkata kelab itu kini menyasarkan untuk menjadi "nombor satu" selepas transformasi mereka daripada bergelut dengan penyingkiran dan kini kepada pesaing Liga Juara-Juara.

The Magpies menamatkan saingan di tempat keempat dalam Liga Perdana dan mara ke final Piala Liga musim lalu, hanya setahun lebih selepas mereka bergelut untuk keluar dari kelompok tiga terbawah.

Pemangkin kepada penambahbaikan itu adalah pengambilalihan kelab oleh konsortium pimpinan Arab Saudi yang diketuai oleh Al-Rumayyan dan Amanda Staveley pada 2021.

"Ia adalah satu pencapaian yang hebat untuk dimulakan," kata Al-Rumayyan.

"Adakah kami menjangkakan untuk berbuat demikian? ya. Kami mempunyai ramuan untuk berjaya. Kami ada kemahuan. Kami mahu mencapai kedudukan terbaik yang kami mampu.

"(Kami) mempunyai orang yang betul dalam pengurusan - pengarah teknikal (Dan Ashworth), pengurus (Eddie Howe) - dan kami mempunyai pemain yang betul. Selain itu, kami mempunyai peminat yang hebat.

"Jika anda mempunyai orang yang betul, kemahuan dan proses serta dana yang betul dan anda menggabungkan semua ini, saya fikir ia adalah resipi yang hebat untuk kejayaan dan itulah yang kami capai sekarang.

"Tamat dalam kedudukan empat teratas, pendapatan kami semakin meningkat. Ingat, anda perlu bekerja dalam rangka kerja sistem kewangan, jadi lebih banyak hasil yang kami akan dapat dan lebih ramai pemain yang boleh kami sediakan.

Al-Rumayyan, yang memakai sut bergaris-garis hitam dan putih serta lambang kelab, menyifatkan lawatan pertamanya ke St James' Park sebagai "satu detik ajaib, renjatan elektrik bagi saya."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 8:29 AM