JUTAWAN Arab Saudi bakal menjadi pemilik baharu Newcastle. FOTO Agensi
JUTAWAN Arab Saudi bakal menjadi pemilik baharu Newcastle. FOTO Agensi
Agensi

PERTUKARAN pemilikan Newcastle bernilai £300 (RM1.6 bilion) oleh jutawan Arab Saudi semakin hampir menjadi kenyataan selepas wang deposit untuk membeli kelab itu sudah pun dibayar.

Sumber terdekat melaporkan baki jumlah pembelian itu akan diselesaikan selepas Liga Perdana mengesahkan pertukaran pemilikan kelab itu.

Difahamkan kesemua kertas kerja yang berkaitan sudah ditandatangani dengan proses pertukaran hak pemilikan itu akan mengambil masa antara tiga hingga empat minggu.

Jika segala-galanya berjalan lancar, jutawan Arab Saudi akan menjadi pemilik baharu majoriti di St James Park dengan menguasai 80 peratus kelab.

Individu yang dimaksudkan adalah Yasir Al-Rumayyan yang akan mengambil alih kerusi pengerusi kelab.

Al-Rumayyan adalah gabenor Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF), pengerusi Saudi Aramco iaitu syarikat minyak terbesar di dunia dan sebahagian ahli lembaga pengarah Uber.

Mike Ashley akan mengosongkan kerusi pengerusi kelab selepas 13 tahun menjadi pemilik utama kelab itu.

Dokumen setebal 350 muka surat sudah dihantar kepada Liga Perdana yang antara kandungannya mendedahkan keinginan pemilik baharu untuk beraksi di Liga Juara-Juara.

Untuk memenuhi matlamat itu, pemilik baharu akan memberi suntikan dana dan bakal memperkenalkan penaja baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 9:29 AM