AKSI Rashford ketika England menentang Macedonia Utara awal pagi tadi.
AKSI Rashford ketika England menentang Macedonia Utara awal pagi tadi.
Agensi

London: Marcus Rashford dijangka bakal mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontrak baharu bernilai £100 juta (RM593.18 juta) bersama Manchester United.

Penyerang United itu hanya berbaki setahun dalam kontraknya sekarang tetapi difahamkan dia sedia menandatangani perjanjian baharu dengan gaji sekitar £375,000 (RM2.22 juta) seminggu.

Perjanjian itu dipercayai membabitkan kontrak lima tahun dengan pilihan tambahan setahun menjadikan Rashford menjadi pemain termahal United memintas penjaga gol David De Gea.

Kontrak De Gea tamat penghujung bulan ini dan tampak bakal meninggalkan United selepas tidak bersetuju dengan pemotongan gajinya sebanyak £175,000 (RM1.03 juta) seminggu.

Kontrak baharu Rashford sesuai dengan prestasi cemerlangnya musim ini selepas pemain berusia 25 tahun itu meledak 30 gol musim lalu berbanding hanya lima gol musim sebelumnya.

30 jaringan itu dan 11 bantuan gol membantu United menduduki tempat ketiga dan mara ke Liga Juara-Juara selain menamatkan kemarau trofi enam tahun kelab selepas menjuarai Piala Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 3:05 PM