KONTRAK Pogba masih berbaki setahun. FOTO Agensi
KONTRAK Pogba masih berbaki setahun. FOTO Agensi
Agensi

London: Manchester United akan menjadikan Paul Pogba sebagai pemain menerima gaji paling tinggi di kelab itu dengan kontrak baharu selama lima tahun bernilai £400,000 (RM2.3 juta) seminggu, menurut The Athletic.

Pogba masih berbaki kontrak setahun dengan gaji £290,000 (RM1.6 juta) seminggu dan United terdesak untuk melanjutkan kontraknya di Old Trafford sebelum jendela perpindahan pemain ditutup.

Bagaimanapun pemain tengah Perancis itu masih belum menerima tawaran United meskipun menyaksikannya menerima gaji lebih tinggi berbanding David de Gea yang meraih gaji £375,000 (RM2.1 juta) seminggu.

Kontrak baru Pogba menyaksikannya mengatasi gaji pemain yang baru disambar United, Raphael Varane dan Jadon Sancho.

Kedua-dua pemain itu bersetuju dengan kontrak panjang masing-masing bernilai £340,000 (RM1.9 juta) dan £300,000 (RM1.7 juta) seminggu.

Pengurusan United sangat berharap Pogba menandatangani kontrak baru yang akan menyaksikannya kekal untuk sekurang-kurangnya empat tahun lagi dengan pilihan melanjutkan kontrak sehingga 2025.

Bagaimanapun seperti dilaporkan sebelum ini, Pogba akan mengambil masa untuk membuat penilaian kerana perpindahan secara percuma ke Paris Saint-Germain (PSG) pada musim depan juga boleh menjadi kenyataan.

PSG sudah dikaitkan dengan Pogba pada jendela perpindahan pemain kali ini namun tindakan mengejut Lionel Messi berhijrah ke kelab gergasi Ligue 1 itu menyebabkan segala urusan perpindahan pemain lain terhenti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 10:17 PM