MESSI (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
MESSI (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Reuters

Beijing: Lionel Messi menggembirakan penyokong Argentina di Beijing apabila dia menjaringkan gol terpantas dalam karier antarabangsanya ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Australia, hari ini.

Dia menjaringkan gol 79 saat selepas sepak mula di Stadium Workers yang dipenuhi penonton.

Penyokong jelas gembira apabila Argentina memenangi bola dalam kawasan Australia selepas seminit dan hantaran Enzo Fernandez menemui Messi yang kemudiannya melepasi kawalan dua pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol dengan penyudah lencong dari luar kotak penalti.

Messi yang mengesahkan bakal menyertai Inter Miami kini sudah meledak dalam tujuh perlawanan berturut-turut buat Argentina dan tonggak pasukan itu jelas membuktikan usia bukanlah penghalang.

Lautan biru putih menyambut pemain selepas mereka menuju ke padang stadium dengan kapasiti 68,000 tempat duduk itu selepas penyokong menyarung jersi Argentina.

"Saya tidak nampak jersi kuning di mana-mana," kata jurulatih Australia, Graham Arnold sebelum perlawanan.

"Saya harap Lionel Messi dapat memberikan sedikit sagu hati kepada kami atas penjualan jersi kerana saya tidak pernah lihat seramai ini yang memakai jersi nombor 10 Argentina!"

Argentina menggandakan kelebihan pada babak kedua apabila hantaran Rodrigo de Paul disudahkan pemain gantian, German Pezzella.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 10:50 PM