AFP

La Serena, Chile: Lionel Messi sudah memenangi hampir apa saja trofi bersama Barcelona namun tidak bersama pasukan kebangsaan Argentina.

Kira-kira 20,000 penyokong Argentina akan menyeberangi pergunungan Andes dengan harapan badi itu berakhir pada Copa America di Chile bermula Jumaat ini.

Kemenangan 3-1 Barcelona ke atas Juventus hujung minggu lalu memberikan Messi trofi Liga Juara-Juara kali keempat dalam tempoh 10 tahun. Dia juga menang tujuh kejuaraan liga Sepanyol dan dua Piala Kelab Dunia serta dipilih Pemain Terbaik Dunia empat kali.

Namun kekalahan Argentina di tangan Jerman pada final Piala Dunia tahun lalu meneruskan kemarau kejuaraan bersama pasukan kebangsaan yang kali terakhir memenangi Copa America pada 1993.

“Sasaran kami untuk menang tahun ini,” ujar Messi yang meraih pingat emas Sukan Olimpik bersama negaranya pada temasya di Beijing 2008.

Sekalipun dia dinobat pemain terbaik pada Piala Dunia, larian pantas dan mengelirukan pemain genius itu tidak kelihatan di pentas antarabangsa seperti dilakukannya ketika menyarung jersi Barcelona.

Messi menyumbat 43 gol dalam 38 perlawanan liga Sepanyol musim ini, di belakang musuh Cristiano Ronaldo yang menjaringkan 48 gol dan memiliki gol paling banyak dalam sejarah La Liga dengan 286 serta rekod 77 gol pada Liga Juara-Juara.

Namun kadar itu merudum bersama Argentina dengan 45 gol dalam 97 penampilan.

Messi menyatakan dia sering kali ditanya kenapa Argentina yang memulakan kejohanan kali ini sekali lagi sebagai pilihan, tidak pernah menang.

“Seronok dan bangga bermain untuk pasukan kebangsaan, menyarung jersi La Albiceleste dan menjadi kapten,” kata Messi. “Tapi meraih kejuaraan adalah keutamaan buat saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:30 AM