RICE semakin hampir sertai Arsenal. -FOTO AFP
RICE semakin hampir sertai Arsenal. -FOTO AFP
Agensi

London: Arsenal semakin hampir mengikat perjanjian dengan Declan Rice dari West Ham United dengan rekod perjanjian kelab bernilai lebih £100 juta (RM579.22 juta).

The Gunners menjadikan pemain antarabangsa England itu sebagai sasaran utama mereka untuk jendela perpindahan musim panas dan dijangka menewaskan Bayern Munich dan Manchester United yang turut berminat mendapatkan khidmatnya.

Walaupun kelab itu masih belum menyerahkan bidaan secara rasmi, perbincangan dengan The Hammers berjalan lancar dan menurut The Guardian, terdapat keyakinan yang semakin meningkat bahawa perjanjian itu akan diselesaikan tidak lama lagi.

Arsenal bersedia untuk menawarkan £90 juta (RM521.28 juta) dengan West Ham meminta tambahan yang akan mengambil bayaran melebihi £100 juta (RM579.22 juta).

Arsenal dijangka tidak berdepan masalah mempersetujui terma peribadi dengan Rice tidak sabar untuk bergabung dengan pasukan Mikel Arteta dengan bos Arsenal itu melihatnya sebagai pemain yang boleh memainkan peranan penting dalam melancarkan satu lagi cabaran kejuaraan Liga Perdana musim depan.

Rice menjulang trofi Liga Konferensi Europa bersama West Ham selepas menewaskan Fiorentina di Prague Rabu lalu dalam apa yang dijangka menjadi perlawanan terakhirnya untuk kelab itu.

"Kami berjanji dengannya bahawa dia boleh pergi. Dia mengatakan hasratnya untuk pergi," kata pengurus West Ham selepas kemenangan itu.

"Anda tidak boleh meminta seorang pemain yang lebih komited kepada kami musim ini."

"Dalam masa terdekat, dia perlu pergi dan kami perlu mendapatkan pengganti - atau beberapa pengganti.

"Ia bukan sesuatu yang kita mahu berlaku. Kami menawarkan dia £200,000 (RM1.1 juta) seminggu 18 bulan lalu. Dia menolaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 10:16 AM