Pemain West Ham United, Declan Rice (kiri) meraikan kejayaan menjaringkan gol bersama rakan sepasukannya Marko Arnautovic (kanan) selepas pasukan itu mengalahkan Arsenal, 1-0. FOTO AGENSI/Facundo Arrizabalaga.
Pemain West Ham United, Declan Rice (kiri) meraikan kejayaan menjaringkan gol bersama rakan sepasukannya Marko Arnautovic (kanan) selepas pasukan itu mengalahkan Arsenal, 1-0. FOTO AGENSI/Facundo Arrizabalaga.
Agensi

LONDON: Gol menarik dijaringkan pemain tengah muda West Ham United, Declan Rice membolehkan pasukan itu melakar kemenangan 1-0 ke atas Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan West Ham merekodkan kemenangan pertama ke atas Arsenal di laman sendiri selepas 13 tahun.

Pemain berusia 19 tahun itu meledak gol pada minit ke-48 menerusi percubaan yang dilakukan dari dalam kotak penalti selepas menerima lorongan daripada bekas pemain Arsenal, Samir Nasri yang membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama sejak Ogos 2016.

Ia adalah gol pertama Rice dalam saingan liga.

Dalam aksi kompetitif membabitkan kedua-dua kelab berjiran itu, percubaan Alexandre Lacazette berjaya diselamatkan Lukasz Fabianski sekali gus menyaksikan The Gunners gagal menjaringkan gol buat kali pertama sejak kempen musim bermula.

Kejayaan itu membolehkan West Ham melonjak ke tangga kelapan liga dengan mengumpul 31 mata hasil enam kemenangan daripada sembilan perlawanan liga.

Arsenal pula kekal di tangga kelima, ketinggalan tiga mata di belakang penghuni tangga keempat, Chelsea yang berdepan Newcastle United, malam ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 11:15 PM