HAVERTZ adalah pembelian pertama Arsenal menjelang musim baharu. FOTO Agensi
HAVERTZ adalah pembelian pertama Arsenal menjelang musim baharu. FOTO Agensi
AFP

Paris: Arsenal menandatangani pemain tengah Jerman, Kai Havertz dari Chelsea dengan 'kontrak jangka panjang.'

Kedua-dua kelab tidak mendedahkan bayaran tetapi media Britain berkata Arsenal membayar Chelsea £65 juta (RM383 juta).

Dia adalah pemain pertama Arsenal pada musim panas tetapi akhbar Britain melaporkan kelab itu bersetuju dengan bayaran £105 juta (RM620 juta) untuk mendapatkan pemain tengah England dari West Ham, Declan Rice.

Havertz menyertai Chelsea pada 2020 dari Bayer Leverkusen.

Dia membuat 139 penampilan dalam tiga musim, menjaringkan 32 kali, termasuk satu-satunya gol dalam kemenangan final Liga Juara-Juara 2021 ketika mengalahkan Manchester City.

Arsenal adalah naib juara Liga Perdana Inggeris musim lalu manakala Chelsea, yang membina semula skuad mereka, berada di tangga ke-12.

"Mentaliti dalam skuad Arsenal sangat tinggi dan anda boleh merasakannya. Itu adalah salah satu sebab mengapa ia sangat sukar untuk bermain menentang Arsenal bsebelum ini," kata Havertz kepada laman web Arsenal.

"Matlamatnya adalah untuk memenangi trofi dan saya akan memberikan segala-gala untuk melakukannya."

Dia menghantar mesej perpisahan kepada Chelsea di media sosial.

Dia berkata "dengan hati yang berat saya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang menjadi rumah kedua saya, dan kepada peminat luar biasa menyokong saya sepanjang perjalanan menakjubkan ini."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 7:22 AM