HAALAND bersama rakan pasukan dalam sesi latihan menjelang final Liga Juara-Juara. -FOTO AFP
HAALAND bersama rakan pasukan dalam sesi latihan menjelang final Liga Juara-Juara. -FOTO AFP
AFP

London: Erling Haaland dijangka akan mendominasi Liga Juara-Juara untuk tahun-tahun akan datang ketika penyerang Manchester City yang memecahkan rekod itu berhasrat untuk membantu pasukannya untuk meraih kejayaan treble pada perlawanan akhir awal Ahad ini menentang Inter Milan.

Haaland memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris pada musim pertamanya, meledak 52 gol dalam semua pertandingan sejak menandatangani kontrak dari Borussia Dortmund.

Pemain berusia 22 tahun itu menyemarakkan usaha City untuk memintas Arsenal dalam perebutan kejuaraan sebelum skuad kendalian Pep Guardiola melengkapkan piala kedua treble dengan kemenangan final Piala FA menentang Manchester United Sabtu lalu.

City adalah pasukan pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama apabila mereka menentang Inter di Istanbul hujung minggu ini.

Jika ia berjaya, City akan menjadi kelab Inggeris kedua selepas Manchester United pada 1999 yang menjulang Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA pada musim yang sama.

Haaland percaya dia hanya boleh menjadi lebih baik apabila menghabiskan lebih banyak masa berada dalam sistem unik Guardiola.

"Saya berkembang dengan cara yang sangat positif dan itu penting bagi saya kerana saya masih sangat muda," katanya.

"Saya berumur 22 tahun, saya mempunyai kerjaya yang panjang di hadapan saya dan saya masih perlu berkembang. Itu juga sesuatu yang saya fikirkan lebih setahun yang lalu apabila saya memikirkan langkah saya seterusnya."

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh penyerang Inter, Romelu Lukaku, yang tahu segala-galanya tentang pasang surut kehidupan dalam Liga Perdana.

Bekas penyerang Manchester United dan Everton, Lukaku, yang kini dipinjamkan ke Inter dari Chelsea, adalah peminat besar Haaland yang fizikalnya mencerminkan gaya permainan pemain Belgium itu sendiri.

Dia menjangkakan pemain Norway itu akan membuktikan dirinya sebagai penyerang paling digeruni dunia bersama pemain Paris Saint Germain, Kylian Mbappe.

"Saya fikir dia akan mendominasi dunia bola sepak dengan Mbappe untuk 10 tahun akan datang," kata Lukaku.

"Mereka akan berjuang dari generasi baru. Mereka benar-benar akan mengambil alih daripada Messi dan Ronaldo dalam dua tahun akan datang."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 10:27 AM