HAALAND dinobatkan pemenang anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak di London. FOTO Agensi
HAALAND dinobatkan pemenang anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak di London. FOTO Agensi
Agensi

London: Erling Haaland menegaskan bahawa sasarannya kini adalah untuk membantu Manchester City melakar sejarah dengan memenangi treble.

Penyerang itu akan terus kekal fokus pada perlawanan akhir City selepas dia dinobatkan sebagai penerima anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak di London semalam.

Haaland setakat ini sudahpun menjaringkan 52 gol dalam 51 perlawanan untuk City – menjelang perlawanan akhir Liga Perdana Ahad di Brentford – selepas perpindahan £51 juta (RM291.08 juta) dari Borussia Dortmund pada musim panas lalu.

City akan berdepan Inter Milan di Istanbul dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada 10 Jun, seminggu selepas mereka menentang Manchester United pada perlawanan akhir Piala FA selepas memenangi Liga Perdana.

Mereka berhasrat untuk mencontohi pencapaian United pada tahun 1999.

Haaland berkata: "Ada dua perlawanan akhir lagi, kami perlu kekal fokus walaupun kami memenangi Liga Perdana.

"Kami perlu kekal fokus untuk mencapai apa yang boleh kami capai dalam dua perlawanan akhir akan datang. Saya akan melakukan segala yang saya mampu untuk mencapai perkara yang baik pada peringkat akhir nanti dan semoga kami memenangi kedua-duanya.

"Adalah satu perkara yang baik menjadi pilihan (menentang Inter Milan) kerana ia bermakna kami mempunyai kualiti, kami perlu menyerang permainan dengan cara kami, bermain bola sepak kami dan pada akhirnya kami akan melihat siapa yang memenanginya."

Haaland memperoleh 82 peratus undian untuk memenangi anugerah FWA, 75 tahun selepas Sir Stanley Matthews memenangi trofi pertama mengatasi Bukayo Saka dan Martin Odegaard dari Arsenal.

Haaland memecahkan rekod gol terbanyak Liga Perdana dalam semusim dengan 36 gol ketika Manchester City menamatkan kejuaraan ketiga berturut-turut dengan berbaki tiga perlawanan, selepas ketinggalan lapan mata di belakang Arsenal pada satu peringkat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 9:25 AM