RODRI menjulang trofi Piala FA selepas menewaskan Manchester United pada aksi final. FOTO AFP
RODRI menjulang trofi Piala FA selepas menewaskan Manchester United pada aksi final. FOTO AFP
AFP

Manchester: Pemain tengah Manchester City, Rodri percaya juara Inggeris itu sudah belajar daripada kesilapan sebelum ini ketika mereka menyasarkan untuk memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama, Ahad ini.

City akan melengkapkan treble Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara jika meraih kemenangan ke atas Inter Milan di Istanbul.

Anak buah Pep Guardiola mara ke final buat kali pertama dalam sejarah kelab dua tahun lalu, tetapi tewas 0-1 kepada Chelsea di Porto.

Musim lalu lebih mengecewakan apabila mereka disingkirkan Real Madrid pada aksi separuh akhir.

Tetapi Real tewas pada musim ini dalam pusingan empat terakhir apabila City menang menerusi agregat 5-1.

"Pep pernah berkata anda tidak dipandang 'besar' jika tidak menang di Eropah. Ia adalah ujian yang perlu kami lalui sekali lagi.

"Satu lagi perlawanan akhir dan kami sudah bersedia, itu sahaja yang boleh saya katakan. Saya hanya akan mendorong rakan sepasukan untuk menjadi diri sendiri. Sentiasa yakin dengan kemampuan diri dan cuba yang terbaik," kata pemain antarabangsa Sepanyol itu.

City mengharapkan kejayaan di Liga Juara-Juara sejak pemilikan yang disokong Abu Dhabi mula mengeluarkan pelaburan berbilion pound sejak 15 tahun lalu.

Pembelian Erling Haaland setahun yang lalu mungkin akan menamatkan penantian mereka selepas bintang Norway itu sudah menjaringkan 52 gol pada musim sulungnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 8:23 AM