LENS meraikan kemenangan mereka ke atas Lorient. -FOTO Reuters
LENS meraikan kemenangan mereka ke atas Lorient. -FOTO Reuters
PEMAIN tengah Lens, Seko Fofana (tengah) mengawal bola daripada dirampas pemain lawan. -FOTO AFP
PEMAIN tengah Lens, Seko Fofana (tengah) mengawal bola daripada dirampas pemain lawan. -FOTO AFP
AFP

Paris: Kemenangan Lens yang bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1 di Lorient memastikan tempat ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim depan serta turut menafikan peluang Paris Saint-Germain menjulang kejuaraan Perancis lebih awal.

PSG memiliki kelebihan enam mata di puncak Ligue 1 dan memerlukan Lens tewas di Brittany bagi dinobatkan sebagai juara di Auxerre.

Ia kelihatan sempurna untuk Paris apabila Romain Faivre meletakkan Lorient di hadapan selepas enam minit beraksi, menerkam gol selepas penjaga gol Lens, Brice Samba gagal menyelamatkan percubaan itu.

Namun Lens yang menikmati kempen hebat bangkit mencatat kemenangan kelima berturut-turut, menyamakan kedudukan apabila rembatan Florian Sotoca melencong masuk pada minit ke-20.

Adrien Thomasson menghukum pertahanan yang lemah untuk meletakkan Lens di hadapan lima minit kemudian. Kapten Seko Fofana melengkapkan tiga mata penuh menerusi serangan balas lewat perlawanan.

Lens memenangi sembilan daripada 10 perlawanan terakhir mereka, kecuali kekalahan 1-3 di tempat lawan kepada PSG bulan lalu.

Terdahulu PSG meraih kemenangan 2-1 di tempat lawan kepada Auxerre membolehkan mereka terus berada di puncak dengan kelebihan enam mata.

Kelab yang dimiliki oleh Qatar itu kini berada di hadapan enam mata mempunyai baki dua perlawanan dengan perbezaan gol yang jauh lebih baik ketika mereka mengintai gelaran kesembilan dalam 11 musim terakhir dan rekod mahkota Perancis ke-11 secara keseluruhan.

Kemenangan Lens di Lorient menyaksikan PSG masih perlu menunggu namun hanya memerlukan satu mata daripada dua perlawanan terakhir mereka untuk melakar rekod kejuaraan ke-11 Perancis secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 8:53 AM