MESSI beraksi kali terakhir untuk PSG. FOTO Reuters
MESSI beraksi kali terakhir untuk PSG. FOTO Reuters
AFP

Paris: Perlawanan terakhir Lionel Messi untuk Paris Saint-Germain (PSG) berakhir dengan kekalahan, awal pagi tadi, manakala Monaco terlepas kelayakan Eropah dan Auxerre tersingkir pada aksi terakhir Ligue 1.

Khabar angin Messi meninggalkan kelab gergasi Perancis itu selepas dua musim disahkan secara rasmi oleh PSG dalam satu kenyataan sejurus sebelum perlawanan menentang Clermont.

"Sumbangannya kepada Paris Saint-Germain dan Ligue 1 tidak boleh dipandang remeh dan kami mendoakan yang terbaik untuk Leo serta keluarganya pada masa depan," kata Presiden PSG, Nasser al-Khelaifi.

Namun Messi, yang menamatkan karier di PSG dengan 32 gol dalam 75 penampilan, diejek oleh beberapa penyokong semasa perlawanan itu, yang menyaksikan juara liga itu tewas 2-3.

Sergio Ramos, yang juga akan meninggalkan PSG, menanduk masuk gol pada penampilan terakhirnya selepas menerima hantaran lintang Vitinha pada minit ke-16.

Mbappe kemudian menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0 yang juga gol peribadinya yang ke-29 musim ini.

Johan Gastien kemudian merapatkan jurang untuk Clermont sebelum Mehdi Zeffane menyamakan kedudukan di babak pertama.

Grejohn Kyei muncul wira Clermont menerusi jaringan kemenangan di babak kedua untuk membolehkan kelab itu menamatkan saingan liga di kedudukan kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 11:02 AM