SEPANJANG tahun ini, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon paling menyerlah apabila melakar sembilan kemenangan dalam 13 aksi antarabangsa.
SEPANJANG tahun ini, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon paling menyerlah apabila melakar sembilan kemenangan dalam 13 aksi antarabangsa.
Firdaus Hashim


LONJAKAN ranking 24 anak tangga diraih skuad senior Harimau Malaya dan layak beraksi di Piala Asia di Qatar, bulan depan membuktikan peningkatan dipamerkan bola sepak negara.

Mengikut jejak skuad senior, pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) negara turut layak beraksi di Piala Asia di Qatar, April depan.

Walaupun skuad futsal dan pasukan bola sepak wanita tidak memenangi sebarang gelaran pada tahun ini, pasukan itu yang baharu dibentuk dijangka bakal menuai hasil dalam beberapa tahun akan datang.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, secara keseluruhan tahun 2023 menghadirkan peningkatan amat positif.

Beliau berkata, perkara paling mustahak ketika ini adalah konsistensi dan beliau mahu setiap pasukan dalam skuad kebangsaan mengekalkan prestasi semasa agar selari dengan misi F:30.

"Bagi kelayakan Piala Dunia 2026, kita sudah dapat enam mata dan ia bagus, tapi kita tak layak lagi. Maknanya bulan Jun nanti baru kita tahu, tapi jika kita dapat mata tambahan pada Mac nanti, lebih baik.

"Kemudian B-23 kita walaupun masa pusingan kelayakan tidak begitu meyakinkan, tapi yang pentingnya kita layak (Piala Asia B-23) dan kita buat persiapan rapi untuk pasukan ini yang akan ke China bagi mengharungi dua aksi persahabatan.

"Bila pasukan ini layak, maknanya sudah menepati sasaran ke pusingan akhir di Qatar tahun depan dan dalam F:30, kita mahukan pasukan masuk ke pusingan akhir," katanya.

Hamidin berkata, bagi pasukan futsal, walaupun tak layak ke Piala Asia, banyak perkembangan positif dipamerkan selepas kehadiran jurulatih baharu sejak dua bulan sebelum Kelayakan Piala Asia Futsal itu.

"Justeru, kita harapkan tahun depan lebih bersedia untuk Sukan Dalam Dewan Asia dan Piala AFF di Bangkok.

"Pasukan bola sepak wanita ada peningkatan di samping pasukan ini perlukan lebih banyak program akar umbi atau pendekatan supaya ramai lagi wanita akan sertai bola sepak.

"Jadi kalau kita tengok nampak ada peningkatan sedikit secara keseluruhan buat semua pasukan. Yang penting di sini, kita perlu konsisten pada masa-masa akan datang," katanya.

Sepanjang tahun ini, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon paling menyerlah apabila melakar sembilan kemenangan dalam 13 aksi antarabangsa dilalui dengan hanya tewas dua kali dan dua seri.

Rekod cemerlang itu menyaksikan kedudukan ranking Malaysia melonjak ke tangga ke-130 dunia ketika ini dan menghampiri harapan Hamidin yang mahu melihat anak buah Pan-gon mendekati angka 120 dunia ke atas.

Ditanya mengenai harapan musim baharu 2024 yang bakal menjengah, Hamidin mengakui mahu melihat bola sepak negara terus mempamerkan peningkatan dalam setiap kejohanan ditempuhi.

"Skuad bola sepak (skuad senior) akan mengharungi Piala Asia bulan depan di Qatar dan kalau boleh kita nak juga pasukan ini cuba melepasi peringkat kumpulan.

"Pasukan B-23 pun begitu. Saya faham bukan mudah nak bertanding dengan Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi, tapi kalau dapat masuk suku akhir pun sudah bagus.

"Pasukan futsal saya mahukan layak ke pusingan akhir dan Asian Indoor Games nanti. (Pasukan) wanita ini belum lagi, kita harapkan adanya peningkatan dalam dua hingga tiga tahun ini.

"Maknanya ada peningkatan untuk cuba bersaing dengan pasukan setaraf dengan mereka dan cuba pergi sejauh mungkin," katanya.

Untuk rekod, tiga pasukan kebangsaan dilatih jurulatih berkaliber iaitu Juan Torres Garrido untuk skuad B-23, diikuti Rakphol Sainetngam bagi pasukan futsal lelaki negara dan Soleen Al-Zou'bi membimbing skuad bola sepak wanita negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 8:29 AM