JAMAL Nasir berkata kesemua 24 negara yang layak beraksi di Doha, Qatar itu nanti adalah yang terbaik dan Malaysia seharusnya mengambil peluang. FOTO Bernama
JAMAL Nasir berkata kesemua 24 negara yang layak beraksi di Doha, Qatar itu nanti adalah yang terbaik dan Malaysia seharusnya mengambil peluang. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir lebih memilih untuk melihat skuad Harimau Malaya berada sekumpulan dengan pasukan-pasukan handalan Asia menjelang majlis undian Piala Asia yang akan dilangsungkan di Doha, Qatar petang esok.

Jelas bekas pemain kebangsaan era 70an dan 80an itu, skuad kendalian Kim Pan-gon perlu bersedia untuk berdepan mana-mana pasukan di pusingan akhir Piala Asia itu nanti.

Katanya, kesemua 24 negara yang layak beraksi di Doha, Qatar itu nanti adalah yang terbaik dan Malaysia seharusnya mengambil peluang untuk berdepan dengan pasukan terkuat seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi mahupun Iran bagi mengukur kemampuan skuad Harimau Malaya.

Jelasnya, melalui pertembungan negara kuat seperti itu, ia dapat mematangkan dan menambahkan lagi pengalaman pemain negara terutama dalam menilai kemampuan Malaysia untuk beraksi di Piala Dunia pula selepas ini.

"Macam baru-baru ini di Sukan Sea di Kemboja, pasukan bawah 22 (B-22) diletakkan dalam kumpulan maut dengan Thailand dan Vietnam, dan kita kalah kepada mereka.

"Dari situ kita dapat nilai di mana tahap kita bagi kategori B-22 itu, jadi sama juga dengan skuad senior di Piala Asia nanti.

"Bagi saya biar kita jumpa lawan yang kuat yang dah biasa main Piala Dunia. Dari situ kita dapat menilai tahap kita adakah boleh main di Piala Dunia atau tidak.

"Maksud saya, pasukan kita boleh belajar sesuatu di Piala Asia nanti bila main dengan pasukan handalan. Jadi bagi saya, kita jangan terlalu fikir nakkan kumpulan mudah kerana di Piala Asia itu tak ada yang mudah," katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, undian Piala Asia bakal berlangsung petang esok dengan skuad Harimau Malaya diletakkan dalam balang terakhir iaitu balang 4.

Ini bermakna Malaysia tidak mempunyai banyak pilihan apabila dijangka berada sekumpulan dengan pasukan Arab Saudi, Iran, Iraq, Oman, Jepun, Korea Selatan dan Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 5:58 PM