DATUK Ab Ghani Hassan. FOTO Bernama
DATUK Ab Ghani Hassan. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tahap persaingan Liga Malaysia (Liga M) dan kualiti pasukan bertanding dijangka meningkat susulan agihan pendapatan yang meningkat sebanyak 96.55 peratus berbanding jumlah 'distribution pool' yang diterima pasukan pada musim lalu.

Perkara itu diakui Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan apabila melihat peningkatan agihan pendapatan kepada semua kelab Liga Super musim ini adalah satu petanda positif terhadap perkembangan Liga M.

"MFL melihat sistem agihan pendapatan ini akan menggalakkan semua kelab bersaing hebat bagi mendapatkan kedudukan terbaik sekali gus menerima lebih banyak pendapatan," katanya.

Semalam MFL buat pertama kalinya mengumumkan agihan pendapatan termasuk hadiah kemenangan buat juara Liga Super musim ini.

Persaingan untuk merangkul kejuaraan dijangka sengit dengan 14 pasukan pastinya berlumba-lumba untuk muncul juara apabila laba lumayan menanti sang juara dengan pemenang bakal membawa pulang RM2.4 juta.

Melihat kepada sistem agihan kali ini, MFL menggunakan sistem mengikut merit kedudukan dalam carta Liga Super sekali gus dilihat cukup adil buat semua pasukan bertanding.

Menurut Ab Ghani lagi, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan nilai komersial Liga M, yang secara tidak langsung akan dapat menaikkan pendapatan kelab.

"Adalah tanggungjawab MFL sebagai badan pengelola liga untuk berusaha meningkatkan pendapatan kelab-kelab dan kami percaya dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat serta rakan penyiar, Liga M dapat terus dikomersilkan bagi meningkatkan pendapatan kelab-kelab," katanya.

Berdasarkan agihan kali ini, semua 14 pasukan akan menerima agihan rata sebanyak RM500,000. Kemudian, bagi agihan merit pula menyaksikan tempat pertama akan meraih RM1.9 juta diikuti tempat kedua dengan RM1.4 juta, ketiga RM1 juta dan keempat RM700,000.

Ia disusuli tangga kelima dengan RM550,000, keenam RM500,000 dan tangga seterusnya ditolak 50,000 setiap tangga ke bawah hingga RM100,000 buat pasukan di kedudukan tercorot.

Nilai keseluruhan agihan dan hadiah kemenangan adalah berjumlah RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta pada musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 12:52 PM