BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail. -FOTO NSTP
BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menyarankan agar kelab yang sering mengalami tunggakan gaji 'diturunkan pangkat' beraksi di liga bawahan yang kini dikenali saingan A1 Semi Pro.

Kata legenda bola sepak negara itu, langkah itu wajar bagi menyelamatkan masa depan Liga Malaysia (Liga M) daripada lenyap ekoran isu tunggakan gaji yang sering menghantui saingan profesional.

Justeru tegasnya, tidak salah 'melucutkan' status profesional beberapa pasukan yang 'bermasalah' ke tahap semi profesional dengan hanya mengekalkan kelab-kelab yang benar-benar berkemampuan di saingan utama iaitu Liga Super.

"Saya cadangkan supaya pasukan yang sering ada masalah tunggakan gaji ini bermain di liga bawahan (A1 Semi Pro) bagi membolehkan mereka menyusun kembali struktur dan memulihkan kewangan pasukan.

"Manakala pasukan yang tidak ada masalah kekal bermain di Liga Super, kalau ada lima atau enam pasukan sahaja biarkan lah. Buat apa ada banyak pasukan, tetapi selalu saja ada masalah pembayaran gaji.

"Bagi saya, beberapa pasukan yang bermasalah ini mungkin belum capai tahap profesional sebenar. Jadi lebih baik kelab-kelab ini main di liga semi pro.

"Bila dah benar-benar profesional, baru main semula dalam kancah liga profesional. Bagi saya kebajikan pemain perlu diutamakan dulu berbanding perkara lain," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, beberapa pihak termasuk pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan saingan Liga Malaysia boleh lenyap dalam tempoh beberapa tahun ke depan sekiranya isu tunggakan gaji tidak ditangani segera.

Malah menerusi sumber diperolehi, 'virus' tunggakan gaji ini juga sudah merebak ke seluruh negara dari Utara hingga ke Borneo, dengan kini melanda pasukan di Pantai Timur.

Jelas Jamal Nasir lagi, pengurangan pasukan pasukan bagi saingan liga teratas juga antara pendekatan terbaik menangani isu tunggakan gaji.

"Kekalkan hanya pasukan yang mampu beri komitmen penuh bayar gaji ontime sahaja dalam saingan liga teratas negara seperti JDT (Johor Darul Ta'zim), Selangor FC, Terengganu FC dan beberapa pasukan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 1:43 PM