SULAIMAN anggap Norazlan tidak bernasib baik apabila gagal menangkap kemas bola sepakan percuma diambil pemain Penang FC. FOTO MIKAIL ONG
SULAIMAN anggap Norazlan tidak bernasib baik apabila gagal menangkap kemas bola sepakan percuma diambil pemain Penang FC. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Penjaga gol Kuching City, Norazlan Razali dianggap tidak bernasib baik apabila melakukan kesilapan mudah sehingga menyebabkan mereka tewas 1-2 kepada Penang FC di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Penolong Ketua Jurulatih The Cats, Sulaiman Hussin mengakui Norazlan sebagai penjaga gol berpengalaman tidak sepatutnya melakukan kesilapan itu sehingga membuka ruang kepada Penang menjaringkan gol penyamaan.

"Bagi saya dengan pengalaman yang ada pada Norazlan, dia seharusnya perlu mengambil satu keputusan lebih baik dalam keadaan kami sangat memerlukan kemenangan dan perkara sebegini harus kami elak.

"Saya rasa dia tidak bernasib baik apabila bola itu terlucut sehingga memberi peluang kepada Penang menghasilkan gol penyamaan.

"Jadi sedikit ruang kami bagi, tuan rumah ambil kesempatan untuk bangkit dan menang.

"Secara keseluruhan pemain mempamerkan persembahan terbaik, cuma ia belum cukup untuk membolehkan kami menang atau sekurang-kurangnya meraih satu mata," katanya.

Kuching City mengejutkan tuan rumah apabila Abu Kamara meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-32.

Bagaimanapun, Norazlan gagal menangkap kemas bola sepakan percuma pemain tuan rumah dan bola muntah itu dimanfaatkan pemain pertahanan Penang FC, Khairul Akmal Rokisham untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-45.

Ia adalah kekalahan kali kelapan dialami anak buah Irfan Bakti Abu Salim, sekali gus menyaksikan Kuching City kekal menghuni tangga ke-12 selepas mengharungi 10 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 7:48 PM