MBAPPE (tengah) ledak dua gol untuk PSG tewaskan Angers. FOTO AFP
MBAPPE (tengah) ledak dua gol untuk PSG tewaskan Angers. FOTO AFP
AFP

Paris: Kylian Mbappe meledakkan dua gol ketika Paris Saint-Germain mengorak satu lagi langkah ke arah memastikan gelaran Ligue 1 walaupun mereka mempamerkan persembahan kurang meyakinkan ketika menewaskan kelab tercorot, Angers 2-1 semalam.

Mbappe menjaringkan gol pembukaan minit kesembilan dan menambah satu lagi setengah jam sebelum tamat perlawanan dan kini mendahului senarai penjaring dengan 22 gol dalam kempen itu.

Di awalnya PSG dilihat seperti bakal mencatatkan kemenangan besar namun Angers yang berada di zon penyingkiran berjaya mencuri satu gol menerusi Sada Thioub pada lewat perlawanan.

PSG kini mendahului 11 mata di puncak liga dengan baki enam perlawanan, walaupun pencabar terdekat Marseille boleh mengurangkan jurang apabila mereka melawat Lyon pada esok.

Dengan rekod 11 gelaran juara liga dan kesembilan sejak pengambilalihan Qatar pada 2011, PSG kini semakin hampir selepas meraih kemenangan ketiga berturut-turut sekali gus mengurangkan tekanan ke atas jurulatih Christophe Galtier.

Bagaimanapun, Galtier mengkritik prestasi pasukannya selepas mereka gagal bermula dengan baik sama seperti ketika mereka melakar kemenangan 3-1 minggu lalu ke atas Lens apabila semua gol mereka hadir sebelum separuh masa.

"Walaupun kami serius dan klinikal pada separuh masa pertama, seperti Lens minggu lalu kami melepaskan sepenuhnya pada separuh masa kedua," kata Galtier.

"Kami bermain tanpa rentak dan tidak benar-benar cuba untuk menambah kelebihan kami.

"Sebagai jurulatih saya kecewa. Sudah tentu kami menang dan berada di puncak liga tetapi apabila anda berada di Paris Saint-Germain, anda tidak boleh berpuas hati dengan hanya bermain separuh daripada perlawanan."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 12:07 PM