Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Penang FC melakar kemenangan buat kali ketiga di laman sendiri selepas membenam Kelantan United FC (KUFC) 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Penang bermula garang dengan penyerang, Soony Saad cuba membolosi gawang pelawat seawal minit kedua, namun bola hantarannya ditumbuk keluar Ilham Amirullah.

Enam minit berselang skuad Kijang Hijau kehilangan tonggak tengahnya Morgaro Lima Gomis yang terpaksa diusung keluar akibat masalah kecederaan sebelum digantikan Syazwan Salihin.

Penang dilihat mempunyai kelebihan dengan KUFC yang menempuh enam perlawanan berturut-turut di tempat lawan hanya mempunyai tujuh pemain di bangku simpanan berbanding sembilan di kem tuan rumah.

VICTOR (kanan) menanduk masuk gol kedua untuk Penang FC menewaskan KUFC, 2-0 di Stadium Bandaraya. FOTO MIKAIL ONG
VICTOR (kanan) menanduk masuk gol kedua untuk Penang FC menewaskan KUFC, 2-0 di Stadium Bandaraya. FOTO MIKAIL ONG

Memasuki babak kedua perlawanan Nik Akif Syahiran memecah kebuntuan dengan meledak gol pertama tuan rumah pada minit ke-49 hasil gerakan yang dimulakan Adriano Aparecido.

Penang terus mengasak dengan tandukan kapten, Rafael Vitor yang melompat tinggi untuk menyambut sepakan sudut Hadin Azman menghadiahkan gol kedua Penang pada minit ke-58.

Keputusan 2-0 itu menyaksikan Penang menghuni tangga kelapan carta Liga Super manakala KUFC yang belum mencipta kemenangan dengan keputusan tujuh kali kalah dan dua kali seri kekal terperosok di dasar liga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 12:30 AM