Pemain Melaka United, Fadli Shas (kanan) diasak pemain Penang FC dalam saingan Liga Super. FOTO Ihsan MUSA
Pemain Melaka United, Fadli Shas (kanan) diasak pemain Penang FC dalam saingan Liga Super. FOTO Ihsan MUSA

George Town: Harapan Penang FC untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri pada aksi kedua Liga Super tidak kesampaian apabila diikat pelawat, Melaka United FC, 1-1 dalam saingan yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, sebentar tadi.

Skuad Harimau Kumbang berada di depan menerusi jaringan Daniel Ashraf yang berjaya mengelirukan pertahanan lawan pada minit ke-27.

Penang FC yang banyak menguasai perlawanan pada babak pertama kerap mengancam kubu pertahanan pelawat yang di kawal Norazlan Razali namun dihampakan dengan penyudah lemah.

Pelawat yang turun dalam misi memburu kemenangan pertama menampilkan beberapa gerakan bahaya menerusi gandingan Ifedayo, Sony Norde dan Adriano namun gagal menghasilkan jaringan.

Tekanan demi tekanan kepada pasukan tuan rumah membolehkan Melaka United menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri kapten Penang FC, Latiff Suhaimi ketika cuba mengeluarkan bola dari sepakan penjuru pada minit ke-40.

Babak kedua menyaksikan pelawat lebih banyak menguasai perlawanan bagaimanapun kedua-dua pasukan yang melakukan beberapa percubaan ke arah gol gagal menerjah jaring dengan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 11:23 PM